Info Pelan

Kehidupan Terubah: Selepas PenceraianSampel

Living Changed: After Divorce

HARI 5 DARIPADA 7

Dicari



Walaupun musim selepas perceraian adalah amat susah, bersama-sama dengan Tuhan, ia boleh menjadi musim yang manis. Ketika semua perkara menjadi kucar-kacir dan hanya Dia sahaja yang menyertai anda, anda dengan senangnya melihat kasih Tuhan yang besar terhadap anda. 



Membesar di gereja, saya pernah mendengar cerita bagaimana Tuhan meninggalkan 99 ekor domba untuk mencari seekor domba yang sesat. Namun, saya tidak selalu memahami bahawa pencarian tidak henti-henti-Nya terhadap kita tidak berhenti dengan penyelamatan sahaja. Hakikatnya, Dia tidak akan meninggalkan kita dan Dia tidak akan berhenti mencari kita. Semasa saya menjadi lebih sedar akan pencarian Tuhan, saya dapat mengenal pasti kehadiran-Nya dalam kehidupan sehari-hari saya dan saya tahu bahawa saya tidak keseorangan.



Pencarian Tuhan adalah berbeza-beza bagi setiap orang. Pencarian-Nya disesuaikan dengan keperluan setiap orang. Bagi saya, saya suka waktu senja, terutama ketika langit berkilauan dengan warna merah dan jingga tua. Ketika saya masih muda, saya akan memerhatikan matahari terbenam dan tertawan dengan ciptaan Tuhan. Kini, saya sedar bahawa perasaan kagum saya ketika melihat keindahan matahari terbenam merupakan salah satu cara Tuhan berbicara kepada hati saya. Inilah cara Dia memberitahu saya, “Aku tahu kamu suka ini, dan Aku berfikir tentang kamu.” Ini mengingatkan saya tentang kasih Tuhan semasa saya amat memerlukannya. 



Majlis perkahwinan pertama yang saya hadiri selepas perceraian saya adalah sukar. Sepanjang majlis itu, saya cuba menahan perasaan saya–sehinggalah waktu Tarian Ulang Tahun. Pada waktu ini, pasangan suami isteri menari di tempat menari. Kemudian, DJ akan mengarahkan pasangan tersebut untuk meninggalkan tempat menari sehingga pasangan suami isteri yang telah berkahwin untuk tempoh yang paling lama tinggal di sana. Dulu, ini ialah bahagian yang paling saya gemari. Namun kali ini, saya menyembunyikan diri di tandas dan menangis tersedu-sedu. Saya tidak pernah rasa begitu sunyi sebelum ini.



Beberapa jam kemudian, semasa semua orang mengucapkan selamat tinggal, hujan mulai turun. Walaupun hari masih siang, langit menjadi gelap seperti waktu malam kerana awan petir. Ketika kawan saya memandu, saya merenung jauh, berasa lega bahawa saya mengatasi roller-coaster emosi itu. Tiba-tiba, saya ternampak warna yang cerah pada pokok. Saya fikir mungkin kebakaran telah berlaku. Namun, saya menyedari itu bukan kecerahan api dan mencari-cari punca kilauan itu. 



Di antara awan petir itu, matahari terbenam dengan warna merah kejinggaan yang paling indah. Ia muncul seketika sahaja. Awan petir segera menyembunyikannya. Saya berasa terharu, air mata meleleh kerana saya tahu bahawa matahari terbenam itu dikhaskan untuk saya. Tuhan menjangkau saya untuk memberitahu saya bahawa saya tidak keseorangan. Bersama dengan Dia di sisi saya, saya tidak pernah keseorangan dan tidak akan keseorangan. Demikian jugalah bagi anda. 



Walaupun semua orang mengecewakan anda, Tuhan tidak akan mengecewakan anda. Kasih-Nya kepada anda melimpah-ruah dan tidak akan berhenti. Walau betapa jauh pun anda telah meninggalkan-Nya atau berapa kali pun anda menolak-Nya, Dia tidak akan putus asa. Dia akan sentiasa mencari anda, mengingatkan anda bahawa anda ialah anak kesayangan-Nya. Dia tidak akan bosan dan hilang minat terhadap anda. Dia ialah lelaki yang sempurna, kesatria yang anda idamkan sejak kecil. Biarlah Dia mengasihi anda. Biarlah Dia mengingatkan anda bahawa anda dihargai–sehinggakan Dia sanggup berkorban demi anda, mati di kayu salib, supaya Dia dapat menyertai anda untuk selama-lamanya. 



Tuhan, terima kasih kerana kasih-Mu dan pencarian-Mu yang tidak berhenti-henti terhadap saya. Saya amat bersyukur kerana meskipun Engkau mengetahui bilangan rambut di atas kepala saya, Engkau mahu lebih mengenali saya lagi. Ketika saya rasa kesepian, ingatkan saya bahawa saya tidak pernah keseorangan kerana Engkau berjanji untuk sentiasa menyertai saya. Tunjukkan kepada saya cara Engkau mencari hati saya supaya saya dapat menyedari kehadiran-Mu dalam hidup saya. Runtuhkan dinding pertahanan saya dan tolonglah saya untuk menerima kasih-Mu yang sempurna. Dalam nama Yesus, Amin!


Hari 4Hari 6

Perihal Pelan

Living Changed: After Divorce

Penceraian memilukan hati Tuhan. Dia tidak suka melihat kita menderita dan berpaut pada rasa bersalah, malu, dan takut. Dia mahu kita untuk menerima kasih kurnia-Nya dan mengetahui bahawa kita dikasihi, dihargai, dan tid...

More

Kami berterima kasih kepada Changed Women's Ministries kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://www.changedokc.com/

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami