Info Pelan

Mula Di Sini | Langkah Pertama Dengan YesusSampel

Start Here | First Steps With Jesus

HARI 1 DARIPADA 15

Markus 1 | Ikutlah Aku

Helo dan selamat datang ke Mula Di Sini. Jika anda baru bermula - ataupun memulakan semula  - dengan Yesus, ataupun jika anda ingin ambil tahu tentang iman, anda berada di tempat yang betul. 

Jadi, di manakah kita bermula? Bagi murid-murid, ia bermula dengan dua perkataan biasa daripada Yesus, "Ikutlah Aku." Dan perjalanan yang bakal ditempuh akan mengubah segala sesuatu. 

Kita akan bermula di sini juga: mengikuti Yesus. Pelan kami adalah mudah. Kita akan membaca dua kitab Alkitab. Pertama, kita akan mengikuti cerita Yesus dalam Injil Markus; sesudah itu, kita akan bercakap tentang cerita kita dalam kitab Kolose. Dalam Markus, kita akan melihat maksud mengikuti Yesus pada masa dahulu, dan dalam Kolose, kita akan melihat maksud mengikuti Yesus pada zaman ini. 

Bahagian yang paling penting dalam pelan ini adalah pembacaan Alkitab, tetapi saya akan menemani anda dan menjelaskannya sepanjang perjalanan ini. Sesungguhnya, perjalanan adalah lebih baik bila ditempuh bersama-sama. Jemputlah seorang kawan, dan anda akan mengenali Yesus sementara anda mengenali satu sama lain! Anda boleh baca sendiri, kemudian, berbincang bersama-sama setiap hari - atau setiap minggu. Atau, hanya kita berdua.  

Okey, jom mulakan. Hari ini, Markus bab 1, bermula dengan ayat 1:

"Inilah Berita Baik tentang Yesus Kristus, Anak Allah."

Itu merupakan pembukaan yang agak mengagumkan. Pertama, ia adalah berita baik, dan saya suka berita baik. Ia adalah tentang Yesus, Mesias. Mesias bermaksud "yang diurapi" - ertinya Dia , pilihan Allah. Dan Yesus ialah Anak Allah.

Ayat 2 bermula dengan nubuatan daripada beberapa abad lalu: 

"Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu, supaya dia menyediakan jalan bagi-Mu."

Utusan Allah ialah seorang lelaki yang bernama Yohanes, yang diutus untuk mengisytiharkan berita baik dan menyediakan hati untuk Yesus. Bagaimanakah dia menyediakan hati? Ayat 4 mengatakan bahawa dia mengisytiharkan "pembaptisan sebagai lambang pertaubatan untuk pengampunan dosa." Pertaubatan adalah kuncinya. Bertaubat bermaksud mengubah fikiran anda dan mengubah haluan anda. Menyedari, "Kesalahan saya," kemudian berpaling daripadanya untuk mengikuti haluan yang baru. Maka, orang datang dari jauh untuk mendengar Yohanes, untuk bertaubat, dan dibaptiskan.  

Ini adalah penting. Langkah pertama untuk mengikuti Yesus adalah mengubah haluan. Mengakui kesalahan yang telah dilakukan, berpaling daripadanya, dan berbalik kepada Yesus. Yohanes membaptis dengan air sebagai tanda pertaubatan, tetapi dia juga memberitahu mereka bahawa Yesus akan datang dan "Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah."

Kemudiannya dalam ayat 9, Yesus datang dari Nasaret, dan Yohanes telah membaptis-Nya. Namun, pembaptisan Yesus adalah berbeza. Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya, dan dalam ayat 11: 

"Lalu terdengarlah suara Allah, 'Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.'"

Terdapat banyak benda yang dapat dilihat di sini, tetapi saya ingin anda membacanya sendiri. Itulah cara ini dilakukan. Saya akan memfokus pada gambaran keseluruhan, anda pula akan membaca perinciannya. Ayat 14: 

"Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Dia berkata, 'Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Allah akan memerintah. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan percayalah kepada Berita Baik ini!'”

Yesus datang dengan satu mesej: Kerajaan Allah - tempat di mana Allah memerintah sebagai Raja - sudah dekat. Ia sudah hampir, dalam jangkauan. Dan Dia menjemput manusia untuk bertaubat - untuk berpaling daripada dosa mereka - dan mempercayai berita baik.  

Walau bagaimanapun, jika Kerajaan adalah dekat, bagaimanakah mereka dapat mencapainya? Ayat 16:

"Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, 'Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.'"

Ambil perhatian. Kunci kepada menjangkau Kerajaan Allah adalah dalam dua perkataan ringkas: ikut Yesus. 

Ayat 18:

"Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus."

Perhatikan bahawa mereka perlu meninggalkan sesuatu untuk mengikut. Yesus terus berjalan dan bertemu dengan Yakobus dan Yohanes (Yohanes yang lain), dan mereka juga meninggalkan apa yang dimiliki serta mengikuti Yesus. 

Ada kalanya saya tertanya-tanya sama ada murid-murid itu sedar bahawa kehidupan mereka bakal berubah, ataupun bahawa seluruh dunia ini akan berubah. Saya tidak tahu betapa banyak yang difahami mereka setakat ini, tetapi mereka cukup mempercayai Yesus untuk mengorak langkah pertama itu.  

Marilah kita menyertai mereka. Baca Markus 1. Lihatlah kewibawaan Yesus semasa Dia menghalau roh jahat. Rasalah belas kasihan-Nya semasa Dia menyembuhkan orang yang sakit. Dengarlah kebijaksanaan-Nya semasa Dia mengajar. Dan semasa anda membaca, fahamilah bahawa Yesus tidak menjemput kita untuk mempercayai satu set kenyataan atau mempertimbangkan beberapa falsafah semata-mata. Dan Dia tidak menjemput kita untuk menyertai suatu institusi. Dia menjemput kita untuk menyertai-Nya dalam suatu perjalanan. Dia menjemput kita untuk mengikut. 

Renungan & Perbincangan:

  • Pada pendapat anda, apakah yang dimaksudkan Yesus apabila Dia mengatakan, "Ikutlah Aku"? Bagaimanakah ia berbeza daripada mengatakan "dengarlah Aku" atau "percayalah Aku"?
  • Antara perkataan-perkataan ini, perkataan manakah yang anda rasa menggambarkan maksud menjadi orang Kristian: agama, iman, falsafah, peraturan, perjalanan, hubungan? Mengapa? 
  • Bagaimanakah anda mendapat tahu tentang Yesus? Kongsikan cerita anda.
Hari 2

Perihal Pelan

Start Here | First Steps With Jesus

Jika anda baru kepada Yesus, baru kepada Alkitab, atau sedang membantu kawan yang baru kepada kedua-duanya - Mula Di Sini. Sepanjang 15 hari akan datang, panduan audio selama 5 minit ini akan membawa anda langkah demi la...

More

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Through The Word kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://throughtheword.org

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami