MATIUS 5:21-30

MATIUS 5:21-30 Alkitab Berita Baik (BM)

“Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan diadili; dan sesiapa yang memaki saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama, dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘Jahil’, patut dibuang ke dalam api neraka. Oleh itu, apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Allah, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Allah. Jika seseorang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berdamailah dengan dia selagi ada masa dan sebelum tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, kemudian polis akan memenjarakan kamu. Ketahuilah, kamu akan tinggal di penjara sehingga kamu melunaskan semua dendamu.” “Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.”

MATIUS 5:21-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Shahadan kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, Bahwa janganlah angkau mŭmbunoh orang, dan barang siapa mŭmbunoh itu, maka iya itu patut dihukumkan. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, Bahwa barang siapa yang marah akan saudaranya dŭngan tiada sŭmŭna mŭna, maka iya itu patutlah dihukumkan; dan barang siapa yang bŭrkata kapada saudaranya, hie jahil, iya itu patutlah dihukumkan ulih mŭjlis bichara; dan barang siapa yang bŭrkata, hie gila, iya itu patutlah dihukumkan dalam api naraka. Maka sŭbab itu, apabila angkau mŭmbawakan pŭrsŭmbahanmu kapada tŭmpat pŭrsŭmblihan, maka disana pun jikalau angkau tŭringat bahwa ada saudaramu kŭchil hati akan dikau; Maka biarlah pŭrsŭmbahan itu dihadapan tŭmpat pŭrsŭmblihan, maka pŭrgilah angkau bŭrdamie dahulu dŭngan saudaramu itu, sŭtlah itu maka datanglah angkau pŭrsŭmbahkan pŭrsŭmbahanmu itu. Maka sŭgralah angkau pŭrgi bŭrdamie dŭngan musohmu, slagi angkau ada bŭrsama sama sa’jalan dŭngan dia, supaya jangan barang bila pun baik, disŭrahkannya angkau kapada hakim, maka hakim pula mŭnyŭrahkan dikau kapada mata mata, maka mata mata itu akan mŭmasokkan dikau kadalam pŭnjara. Bahwa sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, maka sŭblom kiranya angkau mŭmbayar hutangmu itu, jikalau bŭrkorangan satu duit pun, nŭschaya tiada angkau bulih kluar deri sana. ¶ Bŭrmula kamu tŭlah mŭnŭngar pŭrkataan orang dahulu kala, iya itu janganlah angkau bŭrbuat zinah; Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, maka barang sa’orang mŭmandang pŭrampuan sŭrta dŭngan inginnya akan dia, spŭrti sudah iya bŭrbuat zinah dŭngan dia dalam hatinya. Sŭbab itu, jikalau mata kananmu mŭndatangkan salah kapadamu, korekkanlah dia buangkan deripadamu, kŭrna tŭrlebih fiedahnya kalau hilang suatu deripada sagala anggotamu, asal jangan kŭlak sagala tubohmu dimasokkan kadalam api naraka. Dan lagi jikalau tangan kananmu mŭndatangkan salah padamu, potongkanlah dia buangkan deripadamu, kŭrna tŭrlebih fiedahnya kalau hilang suatu deripada anggotamu, asal jangan kŭlak sagala tubohmu itu dimasokkan kadalam naraka.

MATIUS 5:21-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh akan dihakimi.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘bodoh’ akan dihumbankan ke dalam api neraka. Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu, tinggalkanlah persembahanmu di depan mazbah, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu. Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai dan kamu akan dimasukkan ke dalam penjara. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.” “Kamu telah mendengar ajaran ini: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami