Matius 5:21-30

Matius 5:21-30 AVB

“Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh akan dihakimi.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘bodoh’ akan dihumbankan ke dalam api neraka. Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu, tinggalkanlah persembahanmu di depan mazbah, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu. Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai dan kamu akan dimasukkan ke dalam penjara. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.” “Kamu telah mendengar ajaran ini: ‘Jangan berzina.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati. Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka. Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan Matius 5:21-30

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami