MAZMUR 9

9
Doa Kesyukuran kerana Allah Adil
1Untuk pemimpin koir. Menurut lagu Mut-Laben. Mazmur Daud.
2Aku akan memuji Engkau dengan segenap hatiku, TUHAN,
dan menceritakan segala keajaiban yang telah Engkau lakukan.
3Aku akan menyanyi dengan riang kerana Engkau,
dan menyanyikan pujian kepada-Mu, Yang Maha Tinggi.
4Ketika Engkau muncul, musuhku berpatah balik;
mereka jatuh tersandung lalu mati.
5Engkau memerintah sebagai hakim yang adil,
dan Engkau telah membela perkaraku.
6Engkau telah menghukum bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu,
dan membinasakan orang jahat;
mereka tidak akan dikenang lagi.
7Musuh kami lenyap selama-lamanya;
Engkau telah memusnahkan kota-kota mereka,
dan mereka dilupakan sama sekali.
8Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya;
Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia.
9Dia memerintah dunia dengan adil,
dan menghakimi rakyat dengan saksama.
10TUHAN adalah pernaungan bagi orang yang ditindas,
tempat perlindungan pada masa kesusahan.
11Mereka yang mengenal Engkau yakin kepada-Mu, ya TUHAN;
sesiapa pun yang datang kepada-Mu tidak Kautinggalkan.
12Pujilah TUHAN yang memerintah di Sion!
Beritakanlah perbuatan-Nya kepada setiap bangsa!
13Allah ingat akan mereka yang menderita;
Dia tidak melupakan tangisan mereka,
Dia menghukum orang yang berlaku kejam terhadap mereka.
14Kasihanilah aku, ya TUHAN!
Lihatlah, musuhku menyengsarakan aku.
Selamatkanlah aku daripada maut, ya TUHAN,
15supaya aku dapat memuji Engkau
di hadapan penduduk Yerusalem.
Aku akan bersorak gembira
kerana Engkau menyelamatkan aku.
16Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Engkau
jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri;
mereka memasang perangkap,
tetapi mereka sendiri terperangkap.
17TUHAN menyatakan diri-Nya dengan keputusan yang adil;
orang jahat terperangkap oleh perbuatan mereka sendiri.
18Maut ialah kesudahan semua orang jahat,
semua orang yang menolak Allah.
19Orang miskin tidak selamanya dilupakan;
orang papa tidak selamanya kehilangan harapan.
20Bangkitlah, ya TUHAN, hakimilah bangsa-bangsa,
jangan biarkan manusia terlepas daripada hukuman.
21Buatlah mereka takut, ya TUHAN;
sedarkanlah mereka bahawa mereka itu hanya insan.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 9: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami