MAZMUR 59

59
Doa Minta Perlindungan
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia.
2Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku;
lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku!
3Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu;
lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu!
4Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku;
orang kejam berkumpul mengadang aku.
Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan,
5bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN,
mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan.
6Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku;
lihatlah sendiri, ya Allah Israel!
Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa;
jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam.
7Pada waktu senja mereka pulang,
melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.
8Dengarlah hinaan dan ancaman mereka.
Kata-kata mereka tajam seperti pedang;
mereka menyangka tiada orang yang mendengar.
9Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka;
Engkau mengolok-olokkan semua bangsa.
10Aku yakin akan kekuatan-Mu;
ya Allah, Engkaulah pernaunganku.
11Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku;
Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku.
12Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa.
Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka,
ya Tuhan, pelindung kami.
13Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka,
biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka.
Kerana mereka menyumpah dan berdusta,
14binasakanlah mereka semasa Engkau murka;
binasakanlah mereka semuanya.
Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel,
dan Dia memerintah semua orang di dunia.
15Pada waktu senja musuh-musuhku pulang,
melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.
16Mereka berkeliaran mencari makanan,
dan menggeram jika tidak kenyang.
17Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu;
setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu.
Engkau telah menjadi pernaungan bagiku,
perlindungan pada masa kesusahanku.
18Aku akan memuji Engkau, pembelaku;
Allah ialah pernaunganku,
Allah yang mengasihi aku.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 59: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami