1 SAMUEL 23:15-24

1 SAMUEL 23:15-24 BM

Daud takut kerana Raja Saul bertekad untuk membunuhnya. Pada suatu masa Daud berada di Hores, di padang gurun Zif. Yonatan pergi menemuinya di situ dan menyakinkan dia bahawa Allah melindungi dia. Yonatan berkata kepadanya, “Jangan takut, engkau tidak akan jatuh ke tangan bapaku. Dia tahu betul bahawa engkaulah yang akan menjadi raja Israel dan bahawa aku akan mendapat kedudukan di bawahmu.” Kemudian Daud dan Yonatan mengikat janji persahabatan di hadapan TUHAN. Setelah itu Yonatan pulang ke rumahnya, sedangkan Daud tetap tinggal di Hores. Kemudian beberapa orang dari Zif menghadap Raja Saul di Gibea dan berkata, “Daud bersembunyi di dalam wilayah hamba sekalian di tempat-tempat perlindungan di Hores, di atas Bukit Hakhila, di bahagian selatan padang gurun Yehuda. Hamba semua tahu bahawa tuanku hendak menangkap dia. Oleh itu datanglah ke wilayah hamba sekalian. Hamba semua menjamin bahawa tuanku akan menangkap dia.” Raja Saul bertitah, “Semoga kamu diberkati TUHAN kerana berbuat baik kepada beta. Pergilah dan pastikanlah sekali lagi. Siasatlah dengan sungguh-sungguh tempat Daud berada dan siapa yang sudah nampak dia di sana. Beta mendengar bahawa dia sangat licik. Periksalah dengan teliti tempat-tempat yang menjadi persembunyiannya, lalu segeralah kembali untuk melaporkan perkara itu kepada beta. Lalu beta akan pergi bersama dengan kamu. Jika dia masih berada di kawasan itu, tentu beta akan memburunya walaupun beta harus menjelajahi seluruh Yehuda.” Kemudian mereka pulang ke Zif mendahului Raja Saul. Pada masa itu Daud dan anak buahnya berada di padang gurun Maon, di lembah yang sunyi di bahagian selatan padang gurun Yehuda.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami