Ibrani 11

11
Berasaskan iman
1Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat. 2#Sir 44:10—50:21; 1Mak 2:51-64.Melalui iman nenek moyang kita telah dipuji.
3 # Kej 1:1; Mzm 33:6,9; Yoh 1:3. Melalui iman kita mengerti bahawa semesta alam dibentuk dengan firman Allah. Nyatalah bahawa segala yang dilihat sekarang tidak dicipta daripada benda yang dapat dilihat.
4 # Kej 4:3-10. Melalui iman Habel telah mempersembahkan kepada Allah korban yang lebih baik daripada yang dipersembahkan oleh Kain. Dengan demikian dia mendapat kesaksian bahawa dia seorang yang benar; Allah memberikan kesaksian tentang persembahannya. Oleh itu, setelah Habel mati pun, dia masih berkata-kata.
5 # Kej 5:21-24; Sir 44:16. Melalui iman Henokh dipindahkan supaya dia tidak mengalami kematian, dan tidak dapat dijumpai kerana Allah telah memindahkannya; kerana sebelum dia dipindahkan, dia telah menerima kesaksian, bahawa dia mendapat keredaan Allah. 6Tetapi tanpa iman, mustahil didapati keredaan-Nya. Sesiapa yang datang kepada Allah mestilah beriman bahawa Allah wujud dan Dia memberikan ganjaran kepada mereka yang berusaha untuk mencari-Nya.
7 # Kej 6:13-22. Melalui iman Nuh, yang diberi amaran tentang perkara-perkara yang belum dilihat, telah bertindak dengan rasa takut akan Allah. Nuh telah menyediakan bahtera untuk menyelamatkan seisi rumahnya. Dengan demikian dia telah menghukum dunia dan mewarisi perbenaran#11:7 Istilah “perbenaran” berbeza drpd erti perkataan, “kebenaran.” Kerana imannya, Nuh menjadi orang benar yang mewarisi perbenaran Allah. menurut iman.
8 # Kej 12:1-5. Melalui iman Abraham taat apabila disuruh pergi ke tempat yang kemudian diterimanya sebagai warisannya. Dia pergi tanpa mengetahui ke mana dia pergi. 9#Kej 35:27.Melalui iman dia tinggal di tanah yang dijanjikan itu seperti di negeri asing. Dia tinggal di khemah-khemah dengan Ishak dan Yakub, yang bersamanya menjadi waris janji itu; 10kerana dia menanti kota yang berasas, yang dibina dan dicipta oleh Allah.
11 # Kej 18:11-14; 21:2. Melalui iman Sarah juga mendapat kekuatan untuk mengandungkan benih lalu melahirkan anak padahal usianya sudah lanjut; kerana dia yakin bahawa Dia yang berjanji itu setia. 12#Kej 15:5; 22:17; 32:12.Oleh itu, daripada seorang lelaki yang dianggap hampir dengan maut, telah lahir keturunan sebanyak bintang-bintang di langit, tidak terkira bilangannya seperti butir-butir pasir di pantai.
13 # Kej 23:4; 1Taw 29:15; Mzm 39:12. Semua mereka ini telah mati dalam iman. Mereka belum menerima janji itu. Akan tetapi, setelah melihatnya pada masa yang akan datang mereka yakin terhadapnya, dan mengakui mereka orang asing dan musafir di muka bumi ini. 14Mereka yang berkata demikian menyatakan terang-terang bahawa mereka sedang mencari tempat untuk dijadikan tanah air mereka. 15Sesungguhnya, kalaulah mereka teringat akan negeri yang telah ditinggalkan mereka dahulu, mereka akan mendapat peluang untuk kembali. 16Tetapi kini mereka inginkan tempat yang lebih baik, iaitu di syurga. Oleh itu, Allah tidak malu disebut sebagai Allah mereka; Dia telah menyediakan sebuah kota untuk mereka.
17 # Kej 22:1-14. Melalui iman Abraham, apabila diuji, menyerahkan Ishak sebagai korban; dia yang menerima janji-janji itu mempersembahkan anak lelakinya yang tunggal. 18#Kej 21:12.Tentang anak itu telah disebutkan, “Melalui Ishak, benih keturunanmu akan dipanggil.” 19Allah berkuasa membangkitkannya daripada kematian; dan secara perlambangan dia telah menerimanya semula daripada kematian.
20 # Kej 27:27-29,39,40. Melalui iman Ishak telah memberkati Yakub dan Esau berkenaan perkara-perkara yang akan datang.
21 # Kej 48:1-20. Kej 47:31. Melalui iman Yakub, ketika akan mati, telah memberkati setiap anak lelaki Yusuf lalu menyembah sambil bersandar kepada kepala tongkatnya.
22 # Kej 50:24,25; Kel 13:19. Melalui iman Yusuf, apabila hampir sampai ajalnya, telah menyebut pemergian kaum Israel dan berpesan tentang tulang-tulangnya.
23 # Kel 2:2. Kel 1:22. Melalui iman Musa telah disembunyikan oleh ibu bapanya selama tiga bulan sejak lahirnya, kerana mereka melihat bahawa dia seorang bayi yang berparas istimewa dan mereka tidak takut akan perintah raja.
24 # Kel 2:10-12. Melalui iman Musa, setelah besar, tidak mahu disebut anak kepada puteri Firaun. 25Dia memilih untuk menanggung kesusahan bersama umat Allah daripada menikmati nikmat sementara melakukan dosa. 26Baginya celaan yang ditanggung Kristus lebih berharga daripada seluruh kekayaan Mesir; kerana dia berharap mendapat ganjaran.
27Melalui iman dia meninggalkan Mesir, tanpa takut akan kemurkaan raja; kerana hatinya teguh seolah-olah dia melihat Allah yang tidak mungkin dilihat. 28#Kel 12:21-30.Melalui iman dia mengadakan Perayaan Paskah dan perenjisan darah, supaya pembunuh anak-anak sulung tidak menyentuh anak-anak sulung Israel.
29 # Kel 14:21-31. Melalui iman mereka menyeberangi Laut Merah seolah-olah berjalan di darat, sedangkan orang Mesir yang cuba berbuat demikian mati lemas.
30 # Yos 6:12-21. Melalui iman tembok Yerikho telah roboh setelah dikepung tujuh hari. 31#Yos 6:22-25. Yos 2:1-21.Melalui iman wanita pelacur yang bernama Rahab tidak musnah bersama orang yang tidak beriman, setelah dia menyambut para perisik dengan ramah.
32 # Hak 6:11—8:32. Hak 4:6—5:31. Hak 13:2—16:31. Hak 11:1—12:7. 1Sam 16:1—1Raj 2:11. 1Sam 1:1—25:1. Apa lagi yang harus kukatakan? Aku kesuntukan waktu untuk bercerita tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel dan nabi-nabi, 33#Dan 6:1-27.yang melalui iman telah menaklukkan kerajaan, menegakkan keadilan, mendapatkan janji, menutup mulut singa, 34#Dan 3:1-30.memadamkan api yang ganas, terselamat daripada mata pedang, menjadi kuat dalam kelemahan, perkasa dalam peperangan, dan mengusir tentera-tentera asing. 35#1Raj 17:17-24; 2Raj 4:25-37; 2Mak 6:18—7:42.Ada wanita yang mendapat kembali ahli keluarganya yang telah mati dan dihidupkan semula.
Ada orang yang diseksa tetapi tidak mahu diselamatkan kerana mereka ingin mendapat kebangkitan yang lebih baik. 36#1Raj 22:26,27; 2Taw 18:25,26; Yer 20:2; 37:15; 38:6.Setengah-setengahnya pula menghadapi dugaan dengan diejek, dipukul, dirantai dan dipenjarakan. 37#2Taw 24:21.Mereka direjam dengan batu, digergaji putus dua dan dibunuh dengan pedang. Mereka merayau-rayau berpakaian kulit kambing dalam keadaan papa, menderita, terseksa — 38dunia tidak layak menampung mereka. Mereka merayau-rayau di gurun dan gunung-ganang, di gua-gua serta lubang-lubang di tanah.
39Semua mereka ini, sungguhpun mendapat kesaksian yang baik melalui iman, tidak menerima janji itu. 40Allah telah menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita, supaya mereka tidak disempurnakan tanpa kita.

Terpilih Sekarang Ini:

Ibrani 11: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami