Amos 9

9
Penglihatan kelima: Tuhan hadir di sisi mazbah berhala
1Aku melihat TUHAN hadir di sisi mazbah berhala dan Dia berfirman,
“Hentamlah segala kepala tiang itu
sehingga kesemua ambang pintu bergoncang,
lalu pecahkan dan jatuhkanlah kesemuanya ke atas kepala semua orang.
Dengan pedang akan Kucabut nyawa sesiapa yang terselamat.
Tiada seorang pun daripada mereka akan mampu melarikan diri,
tiada seorang pun dapat menyelamatkan diri.
2Sekalipun mereka terdaya menggali sampai alam barzakh,
akan Kuambil mereka dari sana dengan tangan-Ku.
Sekalipun mereka terdaya memanjat ke langit,
akan Kuturunkan mereka dari sana.
3Sekalipun mereka menyembunyikan diri di puncak Gunung Karmel,
akan Kuburu mereka dan Kuambil mereka dari sana.
Sekalipun mereka bersembunyi daripada pandangan-Ku di dasar laut,
akan Kuperintahkan sang ular laut untuk memagut mereka di sana.
4Sekalipun mereka dijadikan tawanan oleh para musuh mereka,
akan Kuperintahkan pedang untuk mencabut nyawa mereka di sana.
Aku akan tujukan pandangan kepada mereka untuk mendatangkan kebinasaan,
bukan kebaikan terhadap mereka.”
5Tuhan, Allah alam semesta,
Dialah yang menyentuh bumi sehingga bumi luluh
dan semua penduduknya berkabung.
Semuanya akan meluap seperti Sungai Nil
dan surut seperti Sungai Nil di Mesir.
6Dialah yang membangunkan anjungan-Nya di langit
dan yang mengasaskan kubah-Nya di bumi.
Dialah yang memanggil air laut
dan yang mencurahkannya ke permukaan bumi —
TUHAN, itulah nama-Nya.
Allah menolak orang Israel
7“Bukankah kamu seperti bani Kush bagi-Ku, wahai orang Israel?”
demikianlah firman TUHAN.
“Bukankah Aku telah menuntun orang Israel keluar dari Tanah Mesir,
orang Filistin dari Kaftor dan orang Aram dari Kir?
8Sesungguhnya, pandangan Tuhan Allah tertuju kepada kerajaan yang berdosa ini.
Aku akan memusnahkannya dari muka bumi,
tetapi Aku tidak akan memusnahkan keturunan kaum Yakub sama sekali,”
demikianlah firman TUHAN.
9“Sesungguhnya, Aku akan memberikan perintah
dan menampi keturunan kaum Israel dalam kalangan segala bangsa
seperti orang menampi dengan nyiru,
tetapi butir yang terkecil pun tidak akan jatuh ke tanah.
10Semua orang berdosa daripada kalangan umat-Ku akan mati dengan pedang,
iaitu kalangan yang berkata, ‘Malapetaka tidak akan mendatangi atau mencapai kita.’ ”
Janji penyelamatan
11 # Kis 15:16-18. “Pada waktu itu Aku akan membina semula khemah Daud yang telah roboh.
Akan Kututup lubang-lubang dindingnya
dan akan Kudirikan semula keruntuhannya.
Aku akan membangunkannya semula seperti pada zaman dahulu,
12supaya mereka dapat menguasai saki-baki Edom
dan segala bangsa yang Kupanggil milik-Ku,”
demikianlah firman TUHAN yang melakukan hal ini.
13“Sesungguhnya, waktunya akan datang,” demikianlah firman TUHAN,
“tepat pada masanya, pembajak tanah akan menyusul penuai
dan pengirik anggur akan menyusul penabur benih.
Gunung-gunung akan menitiskan air anggur yang baru
dan akan kebanjiranlah segala bukit.
14Aku akan memulihkan keadaan umat-Ku Israel,
dan mereka akan membangunkan kembali kota-kota yang telah rosak lalu menghuninya.
Mereka akan menanam kebun-kebun anggur dan meminum air anggurnya,
mereka akan membuat kebun-kebun dan memakan buahnya.
15Aku akan menanam mereka di tanah mereka
dan mereka tidak akan dicabut lagi dari tanah yang telah Kukurniakan kepada mereka,”
firman TUHAN, Allahmu.

Terpilih Sekarang Ini:

Amos 9: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami