Info Pelan

Hikmat Daripada Cerita Perjanjian Lama Sampel

Wisdom From Old Testament Stories

HARI 3 DARIPADA 5

Gideon 



Cerita hari ini juga berasal daripada kitab Hakim-hakim. Memang biasa bahawa kita hendak melihat orang yang tertindas—hero yang tidak disangka-sangka—menang. Itulah yang berlaku dengan Gideon yang menentang orang Midian. 



Seperti yang kita ketahui pada hari kedua, orang Israel mengulang kitaran toksik yang teruk. Pada waktu itu, Gideon merupakan hakim orang Israel, dan mereka telah ditindas oleh orang Midian selama tujuh tahun. Orang Midian menyeksa orang Israel sehinggakan mereka kebuluran. Maka, mereka berseru kepada Tuhan...sekali lagi.



Allah mengutus seorang nabi kepada umat-Nya dan memarahi mereka kerana pemujaan patung berhala. Selepas itu, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Gideon dan memanggil Gideon “pemuda yang gagah berani” (Hakim-hakim 6:12). Gideon yang jelasnya terperanjat bertanya mengapa Allah meninggalkan mereka. 



Allah berfirman kepada Gideon untuk menyelamatkan orang Israel daripada orang Midian. Gideon meragui Allah beberapa kali. Namun, Allah berjanji bahawa Dia akan menyertainya, dan bahawa Dia akan menyelamatkan Gideon. Akhirnya, Gideon mara dan memainkan peranan yang diperintahkan oleh Allah itu. 



Gideon mempunyai 22,000 orang askar, tetapi Allah berfirman bahawa bilangan itu terlalu besar. Akhirnya, 22,000 orang itu dikurangkan kepada 300 orang sahaja untuk berperang dengan ribuan orang Midian. Dengan ketaatan dan pergantungan kepada Allah itulah, orang Israel yang diketuai oleh Gideon, mencapai kemenangan. Beberapa perkara yang dapat kita belajar daripada cerita ini ialah:



Allah Tidak Menyebabkan Kecelaruan Kita

Pada kali pertama malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Gideon, Gideon meragui Allah dan menyalahkan-Nya kerana meninggalkan mereka. Walau bagaimanapun, jelas kelihatan bahawa kelakuan merekalah yang mengakibatkan penindasan dan kesukaran mereka. Mereka memilih untuk “berdosa terhadap Tuhan” (Hakim-hakim 6:1). Maka, adalah bijak untuk meneliti pilihan kita dan mengenal pasti apa yang kita perlu ubah. Menyalahkan Allah bukanlah penyelesaiannya.



Allah Bersabar Ketika Keraguan Kita

Gideon mempersoalkan hadirat Allah, dia juga mempersoalkan peranan yang Allah ingin dia mainkan, dia meminta dua tanda daripada Allah untuk membuktikan bahawa Dia betul-betullah Allah, dan dia juga memberikan alasan bahawa dia tidak memiliki orang yang mencukupi untuk berlawan. Meskipun selepas Allah memberitahu Gideon dua kali berasingan bahawa Dia akan “memberinya kemenangan atas orang Midian,” Gideon masih berasa ragu-ragu. Namun, setiap kali, Allah bersabar dan memberikan respons terhadap keraguan dan ketakutan Gideon. Allah tidak tawar hati terhadap Gideon yang berulang kali ragu-ragu. Dia memahami kelemahan Gideon sebagai manusia biasa. Allah mengenali kita! Dia tahu akan kelemahan kita. Dia tahu kita masih berasa takut walaupun kita mendengar suara-Nya. Dia tahu kita tidak melihat apa yang dilihat-Nya. Dia berbelas kasihan dan baik budi!



Kuasa Allah Lebih Daripada Cukup

Allah menggunakan seorang lelaki bernama Gideon yang takut, tidak bersedia, dan ragu-ragu, serta memimpinnya untuk menewaskan beribu-ribu orang Midian dengan 300 orang askar sahaja. Tidakkah Dia akan melakukan perkara yang sama untuk kita? Kita mungkin berasa lemah, tetapi dengan kuasa-Nya, kita tidak akan gagal, kita akan berjaya! Firman Allah memberitahu kita bahawa Dia boleh dipercayai. Adakah apa-apa perkara yang terlalu sukar bagi Dia?


Hari 2Hari 4

Perihal Pelan

Wisdom From Old Testament Stories

Kadang kala Perjanjian Lama agak mengelirukan dan sukar difahami, tetapi ia padat dengan cerita yang dipenuhi dengan kebijaksanaan yang dapat digunakan. Dalam Pelan 5 hari ini, kita akan meneliti cerita dalam dalam Perja...

More

Pelan Alkitab original ini dihasilkan dan disediakan oleh YouVersion.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami