Info Pelan

Doa Bapa KamiSampel

The Lord's Prayer

HARI 5 DARIPADA 8

Pembekalan


Berilah kami makanan untuk hari ini


Dari satu segi, ada peralihan dalam Doa Bapa Kami pada ketika ini. Kita beralih daripada 'memandang ke atas', sebelum ini, kepada 'memandang sekeliling' diri dan orang di sekeliling kita. Peralihan pandangan ini mencerminkan Sepuluh Hukum dan ringkasan Yesus tentang agama yang benar: mengasihi Allah dan mengasihi sesama manusia (Matius 22:36-40). Namun, tidaklah bjiak untuk berfikir bahawa kita beralih daripada yang rohani kepada yang praktikal; sebenarnya, Allah terlibat dalam setiap lingkungan hidup.



Kita perlu fikir baik-baik tentang maksud frasa ini. Sentiasa dianggap bahawa 'makanan' dalam frasa ini merujuk kepada semua keperluan hidup. Ini termasuk keperluan fizikal: bukan makanan sahaja malah air, tempat perlindungan, pakaian, kesihatan, wang, dsb. Namun, lebih banyak lagi: termasuk keperluan psikologi seperti ketenangan fikiran, harapan dan keberanian, dan keperluan rohani seperti kasih kurnia, kesedaran akan Allah dan iman. 'Makanan' ialah segala sesuatu yang kita perlukan untuk meneruskan hidup. Perhatikan bahawa berdoa tentang makanan bermaksud mengakui kebergantungan pada Allah. Sesungguhnya terlalu mudah untuk bersikap angkuh kerana siapa kita ini dan apa yang dimiliki dan mengatakan 'semua ini diperoleh atas usaha sendiri’. Dalam kitab Daniel bab 5, nabi itu berkhabar tentang pengadilan Raja Belsyazar yang jahat; kata-katanya termasuk, 'Tuanku tidak menghormati Allah yang berkuasa menentukan sama ada tuanku hidup atau mati, dan yang menguasai segala perbuatan tuanku’ (Daniel 5:23). Demikian juga Rasul Paulus menulis semasa membidas jemaat Korintus, 'Apakah yang ada padamu yang tidak kamu terima?’ (1 Korintus 4:7).



Walau bagaimanapun, jika frasa ini adalah luas, ada juga batasnya. Roti merupakan makanan kehidupan yang paling asas dan itu sahajalah yang Yesus minta kita untuk doakan; bukan kemewahan hidup tetapi keperluan. Semasa kita mengucapkan doa ini, jangan sesekali lupa bahawa di dunia ini bagi banyak orang memiliki keperluan asas hidup merupakan kemewahan. Semasa mengucapkan bahagian doa ini, ingatkanlah diri anda bahawa anda berdoa untuk keperluan anda, bukan ketamakan anda. Kita harus mengingati segala sesuatu yang telah diberikan kepada kita.



Tiada perkataan yang tidak diperlukan dalam Doa Bapa Kami dan perkataan hari ini harus membuat kita berhenti sejenak. Memanglah menggoda untuk meminta agar Allah memberikan apa yang diperlukan pada masa depan juga, bukan keperluan semasa sahaja. Namun, berbuat demikian memesongkan tujuan doa. Allah mahu doa kita untuk tertumpu pada hubungan kita dengan-Nya, dan mendekati-Nya setiap hari dengan permintaan kita membina hubungan tersebut. Berdoa hari demi hari untuk keperluan kita membina hubungan yang kekal. 



Akhirnya, saya ingin menyentuh sesuatu yang hadir dalam seluruh Doa Bapa Kami: perkataan kami. Ini adalah sangat penting. Memanglah terlalu mudah untuk memfokuskan doa kita pada diri sendiri tetapi itu bukanlah tumpuan Perjanjian Baru. Kita mesti membuat keputusan untuk mengikut Yesus dan menyertai umat Allah sebagai individu; tetapi sebagai orang Kristian, kita mesti sentiasa memandang diri sebagai sebahagian daripada komuniti. Semasa berdoa, kita harus sentiasa berdoa untuk orang yang berhubungan dengan kita: keluarga fizikal kita dan keluarga rohani kita. Sebenarnya, memanglah baik untuk berdoa untuk kawan, rakan kerja dan jiran kita. 



Akhirnya, apabila Allah memberikan kita 'makanan' untuk hari ini – dan sering kali jauh lebih daripada itu – marilah kita bersyukur.


Hari 4Hari 6

Perihal Pelan

The Lord's Prayer

Sertai J.John dalam kajian lapan hari tentang Doa Bapa Kami, ajaran yang amat mendalam dan berguna oleh Yesus tentang cara kita harus berdoa.

Kami bersyukur kepada J JOHN kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://canonjjohn.com

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami