ZEFANYA 3:9-17

ZEFANYA 3:9-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Sungguh, pada waktu itu Aku akan mengubah bibir bangsa-bangsa menjadi bersih, supaya mereka semua dapat menyeru nama TUHAN dan beribadat kepada-Nya dengan satu tekad. Dari seberang sungai-sungai Kush, kalangan yang berdoa kepada-Ku, iaitu para umat-Ku yang tercerai-berai, akan membawa persembahan kepada-Ku. Pada hari itu engkau tidak akan diaibkan lagi oleh segala perbuatanmu yang derhaka terhadap Aku. Pada waktu itu Aku akan menyingkirkan daripada tengah-tengahmu kalangan yang amat gembira dengan sifat riak mereka. Engkau tidak akan menyombong lagi di atas gunung-Ku yang suci. Aku akan meninggalkan di tengah-tengahmu kalangan umat yang rendah hati dan lemah. Mereka akan berlindung dalam nama TUHAN. Saki-baki orang Israel tidak akan melakukan kezaliman dan tidak akan berkata dusta. Lidah tipu daya tidak akan didapati di dalam mulut mereka. Sungguh, mereka akan makan lalu berbaring tanpa ada yang mampu menakut-nakutkan mereka.” Bersorak-sorailah, wahai puteri Sion! Bersoraklah dengan gembira, wahai Israel! Bersukacitalah dan bersuka rialah dengan seluruh hatimu, wahai puteri Yerusalem! TUHAN telah menyingkirkan hukumanmu, dan Dia telah melenyapkan musuhmu. Raja Israel, iaitu TUHAN, hadir di tengah-tengahmu, engkau tidak akan takut lagi kepada malapetaka. Pada hari itu akan dikatakan kepada Yerusalem, “Jangan takut, wahai Sion! Jangan biarkan tanganmu lemah. TUHAN, Allahmu, hadir di tengah-tengahmu seperti kesateria pembawa kemenangan. Dengan penuh sukacita Dia akan bergirang kerana engkau, dan tenang berdiam kerana kasih-Nya. Dengan sorak-sorai Dia akan bergembira kerana engkau.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami