ZAKHARIA 10:6-12
ZAKHARIA 10:6-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku akan menguatkan penduduk Yehuda; Aku akan menyelamatkan penduduk Israel. Aku akan mengasihani mereka dan membawa mereka semua pulang. Aku akan memperlakukan mereka seolah-olah mereka tidak pernah Aku tolak. Akulah TUHAN, Allah mereka; Aku akan mengabulkan doa mereka. Penduduk Israel akan menjadi kuat seperti pahlawan, dan gembira seperti orang yang telah minum wain. Keturunan mereka akan ingat kemenangan ini, dan bersukacita kerana perbuatan TUHAN. Aku akan memanggil umat-Ku, Aku akan mengumpulkan mereka. Aku akan menyelamatkan mereka, dan membuat mereka banyak seperti dahulu. Walaupun Aku telah mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa, namun di tempat jauh mereka akan ingat kepada-Ku. Mereka dan anak-anak mereka akan selamat dan pulang bersama-sama. Dari Mesir dan Asyur, Aku akan membawa mereka pulang, dan menempatkan mereka di negeri mereka sendiri. Aku akan menempatkan mereka di Gilead dan di Lebanon; seluruh negeri itu akan penuh dengan penduduk. Apabila mereka menempuh gelora kehidupan, Aku, TUHAN akan memukul gelombang yang mengancam, sehingga Sungai Nil pun akan kering sama sekali. Orang Asyur yang sombong akan merendahkan diri, dan Mesir yang gagah perkasa akan kehilangan kuasa. Aku akan menguatkan umat-Ku; mereka akan beribadat dan taat kepada-Ku.” TUHAN telah berfirman.
ZAKHARIA 10:6-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan menguatkan keturunan kaum Yehuda, dan menyelamatkan keturunan kaum Yusuf. Aku akan membawa mereka kembali, kerana Aku mengasihani mereka. Mereka akan menjadi orang yang seolah-olah tidak pernah Kubuang, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka, dan Aku akan menjawab mereka. Efraim akan seperti seorang kesateria, hati mereka akan gembira seperti orang minum air anggur. Anak-anak mereka akan melihatnya dan bersukacita, hati mereka akan bergembira di dalam TUHAN. Aku akan memanggil mereka dengan isyarat dan mengumpulkan mereka, kerana Aku telah menebus mereka. Mereka akan bertambah ramai sebagaimana ramainya mereka dahulu. Sekalipun Aku telah menyerakkan mereka ke antara bangsa-bangsa, di tempat-tempat yang jauh mereka akan mengingati Aku. Mereka akan bertahan hidup bersama dengan anak-anak mereka dan mereka akan kembali. Aku akan membawa mereka kembali dari Tanah Mesir dan mengumpulkan mereka dari Asyur. Aku akan membawa mereka masuk ke Tanah Gilead dan Lebanon, sampai tidak ada lagi tempat bagi mereka. Mereka akan mengharungi laut kesesakan dan memukul segala gelombang di laut, sehingga semua tempat yang dalam di Sungai Nil menjadi kering. Keangkuhan Asyur akan diruntuhkan dan tongkat kerajaan Mesir akan disingkirkan. Aku akan menguatkan mereka di dalam TUHAN, dan mereka akan berjalan dalam nama-Nya,” demikianlah firman TUHAN.