ROMA 8:22-30

ROMA 8:22-30 Alkitab Berita Baik (BM)

Kita tahu bahawa sehingga saat ini alam semesta merintih kesakitan seperti kesakitan yang dialami wanita yang bersalin. Bukan sahaja alam semesta yang merintih, tetapi kita juga merintih dalam batin. Kita yang sudah menerima Roh Allah sebagai kurnia Allah yang pertama, pun masih menunggu masanya Allah menjadikan kita anak-anak-Nya dan membebaskan diri kita seluruhnya. Kerana dengan berharap, kita diselamatkan. Tetapi jika kita boleh melihat apa yang kita harapkan, maka hal itu bukan lagi harapan. Siapakah mengharapkan sesuatu yang sudah dilihatnya? Tetapi jika kita mengharapkan sesuatu yang belum kita lihat, kita menunggu dengan sabar. Begitu juga Roh Allah datang menolong kita yang lemah ini. Kita tidak tahu bagaimana kita patut berdoa; Roh itu sendiri bermohon kepada Allah dengan erangan yang tidak dapat diutarakan dengan kata-kata. Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengerti apa yang dimaksudkan oleh Roh itu, kerana Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Allah. Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah, juga telah ditetapkan-Nya dari dahulu supaya menjadi seperti Anak-Nya, Yesus Kristus. Dengan demikian Anak itu menjadi yang pertama antara banyak saudara. Begitulah Allah memanggil mereka yang telah ditetapkan-Nya dari dahulu; Allah membolehkan mereka yang dipanggil-Nya itu berbaik semula dengan Dia, dan Allah memberikan sebahagian daripada kemuliaan-Nya kepada mereka yang dibolehkan-Nya berbaik semula dengan Dia.

ROMA 8:22-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna kita tŭlah mŭngtahui, bahwa sagala makhlok itu mŭngŭrang dan kŭloh kŭsah dalam kŭsakitan bŭrsama sama sampielah skarang ini. Dan bukannya marika itu sahja, mŭlainkan diri kita pun yang tŭlah mŭndapat buah bungaran sulong roh itu, kita sŭndiri pun mŭngŭrang dalam diri kita sŭndiri, sŭrta mŭnantikan akan diangkat anak, iya itu tŭbusan tuboh kita. Kŭrna kita dipliharakan ulih sŭbab harap, tŭtapi harap yang klihatan itu bukannya harap; kŭrna barang yang dilihat ulih manusia itu, mŭngapakah diharapkan lagi? Tŭtapi jikalau harap akan pŭrkara yang tiada kita lihat itu, maka tŭtkala itulah kita mŭnantikan dia itu dŭngan sabar. Dan dŭmkian lagi Roh itu pun mŭnulong akan kalŭmahan kita, kŭrna tiada kita kŭtahui apakah yang handak kita bŭrdoa dŭngan spatutnya, mŭlainkan Roh itu sŭndiri mŭmohonkan akan ganti kita dŭngan mŭngŭrang yang tiada dapat dibunyikan. Adapun Tuhan yang mŭnyŭlidek akan sagala hati itu, dikŭtahuinyalah akan kahandak Roh itu, sŭbab iya tulong mŭmohonkan kŭrna orang orang suchi itu spŭrti yang dikahandaki Allah. Maka kami mŭngtahui, bahwa sagala pŭrkara bŭkŭrja bŭrsama sama akan mŭndatangkan kŭbajikan kapada orang orang yang mŭngasihi Allah, iyaani kapada marika itu yang tŭlah dipileh itu sŭkŭdar kahandak Allah. Adapun orang yang tŭlah dikŭtahui tŭrdahulu itu, maka marika itulah ditakdirkannya akan mŭnjadi sŭrupa tauladan anaknya, supaya iya mŭnjadi anak sulong diantara saudara saudara yang banyak itu. Tambahan pula orang yang tŭlah ditakdirkannya itu, maka iyalah juga yang dipileh; maka orang orang yang dipilehnya itu, maka iyalah juga yang dibŭnarkannya, dan orang yang dibŭnarkannya itulah juga dipŭrmuliakannya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami