MAZMUR 32:5-11
MAZMUR 32:5-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian aku mengakui dosaku kepada-Mu; aku tidak menyembunyikan perbuatanku yang salah. Aku mengambil keputusan untuk mengakui dosaku kepada-Mu, dan Engkau mengampunkan segala kesalahanku. Oleh itu semua umat-Mu yang setia haruslah berdoa kepada-Mu pada masa kesusahan; apabila banjir kesusahan melanda, mereka tidak ditimpanya. Engkaulah tempat persembunyianku, Engkau akan menyelamatkan aku daripada kesusahanku. Aku bersorak memuji-Mu, kerana Engkau menyelamatkan dan melindungi aku. TUHAN berfirman, “Aku akan menunjukkan jalan yang harus kauikuti. Engkau akan Kubimbing dan Kunasihati. Janganlah bodoh seperti kuda atau baghal, yang mesti dikawal dengan tali dan kekang supaya menurut.” Orang jahat pasti menderita, tetapi orang yang berharap kepada TUHAN dilindungi oleh kasih-Nya. Bergembiralah dan bersukacitalah, hai orang yang salih, kerana segala perbuatan TUHAN. Bersoraklah dan bersukacitalah, hai semua orang yang tulus hati.
MAZMUR 32:5-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu aku mengakui dosaku kepada-Mu dan tidak menyembunyikan kejahatan dosaku. Kataku, “Aku akan mengakui keingkaranku kepada TUHAN” — maka Engkau mengampunkan dosaku. Sela Oleh itu, setiap orang yang warak hendaklah berdoa kepada-Mu ketika Engkau masih dapat dicari; apabila banjir besar melanda, tentulah dia akan terselamat. Engkau tempatku berlindung; Engkau akan menaungiku daripada kesusahan Engkau akan memeliharaku dengan nyanyian penyelamatan. Sela Aku akan mendidik dan mengajarmu ke jalan yang benar; Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku. Janganlah berkelakuan seperti kuda atau keldai, yang tidak berakal dan perlu dipasangkan tali serta kekang supaya menurut kata. Orang zalim akan menanggung pelbagai penderitaan, tetapi orang yang percaya kepada TUHAN akan dilimpahi kasih setia. Bersukacitalah dalam TUHAN dan bergembiralah, wahai orang yang benar; dan bersoraklah dengan girang, wahai semua orang yang tulus hati!