MAZMUR 104:10-18,24-26
MAZMUR 104:10-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Engkau menjadikan mata air memancar di lembah-lembah, dan air sungai mengalir di sela-sela bukit, untuk memberi binatang liar minuman, dan untuk melepaskan dahaga keldai hutan. Di pokok-pokok yang berhampiran, burung berkicau dan membuat sarang. Dari langit Engkau menurunkan hujan ke atas pergunungan, bumi penuh dengan berkat-Mu. Engkau menumbuhkan rumput untuk lembu, dan tanaman untuk kegunaan orang, supaya manusia dapat bercucuk tanam, dan menghasilkan wain untuk menghiburkan hati, minyak zaitun untuk menyerikan muka, dan makanan untuk memberikan tenaga. Pokok sedar di Lebanon mendapat banyak hujan, pokok-pokok yang ditanam oleh TUHAN. Di sana burung-burung bersarang, burung bangau bersarang di puncaknya. Kambing hutan tinggal di gunung yang tinggi, dan landak bersembunyi di tebing.
MAZMUR 104:24-26 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu! Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya! Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu. Lihatlah laut luas terbentang, dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang. Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan, raksasa laut ciptaan-Mu, bermain-main.
MAZMUR 104:10-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia menghantar mata air ke pelembahan; yang mengalir di antara bukit-bukau. Mata air memberikan minuman kepada setiap binatang di padang; keldai-keldai liar menghilangkan dahaganya. Di sisinya burung-burung angkasa membuat sarang; dan menyanyi di cabang-cabang pokok. Dia mengairi bukit-bukau dari ruang-ruang atas-Nya; bumi berpuas dengan buah hasil kerja-Nya. Dia membuat rumput tumbuh untuk lembu ternakan, dan pelbagai tanaman bagi kegunaan manusia — untuk membolehkannya menghasilkan makanan dari bumi: air anggur yang menyukakan hati manusia, minyak untuk menyerikan mukanya, dan roti yang meneguhkan hati manusia. Pokok-pokok TUHAN segar dan subur, pokok-pokok araz di Lebanon yang ditanam-Nya. Di situ burung-burung membuat sarangnya; burung ranggung tinggal di pokok sanubar. Bukit-bukit tinggi untuk kambing liar; curaman-curaman tempat landak bernaung.
Mazmur 104:24-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ya TUHAN, sungguh beraneka hasil kerja-Mu! Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu. Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya — makhluk hidup yang kecil dan besar. Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana.