MAZMUR 102:12-14,19-29
MAZMUR 102:12-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Hidupku berlalu seperti bayang-bayang pada waktu petang; aku layu seperti rumput kering. Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya; semua keturunan akan mengingati Engkau. Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion; masanya sudah tiba untuk mengasihaninya; inilah masanya yang tepat.
MAZMUR 102:19-29 Alkitab Berita Baik (BM)
Tulislah semua perbuatan TUHAN untuk keturunan yang akan datang, supaya generasi yang akan datang dapat memuji Dia. TUHAN memandang ke bawah dari tempat-Nya yang suci, Dia memandang dari syurga ke bumi, untuk mendengar keluhan orang tawanan, dan membebaskan mereka yang dijatuhi hukuman mati. Oleh itu nama-Nya akan diisytiharkan di Sion; Dia akan dipuji-puji di Yerusalem, ketika bangsa dan kerajaan berkumpul untuk menyembah TUHAN. TUHAN melemahkan aku semasa aku masih muda; Dia memendekkan umurku. Ya Allah, janganlah ambil nyawaku, sebelum lanjut usiaku. Engkau hidup selama-lamanya; dahulu Engkau menciptakan bumi, dan langit pun karya tangan-Mu sendiri. Semuanya akan lenyap, tetapi Engkau tetap ada; semuanya akan usang seperti kain. Engkau membuang semuanya seperti baju lama; lalu semuanya akan lenyap. Tetapi Engkau tetap sama, hidup-Mu tidak akan berakhir. Anak-anak kami akan hidup dengan selamat, dan keturunan mereka sentiasa aman dalam perlindungan-Mu.