BILANGAN 21:4-9
BILANGAN 21:4-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian umat Israel meninggalkan Gunung Hor dan mengikut jalan yang menuju ke Teluk Akaba untuk mengelilingi tanah Edom. Tetapi di tengah jalan mereka hilang sabar, lalu bersungut-sungut terhadap Allah dan Musa. Mereka berkata, “Mengapakah kamu membawa kami keluar dari Mesir untuk mati di padang gurun ini? Di sini tidak ada makanan ataupun air. Kami muak dengan makanan yang tawar ini!” Kemudian TUHAN mendatangkan ular-ular berbisa di tengah-tengah mereka dan banyak orang Israel mati dipatuk ular. Umat Israel datang kepada Musa dan berkata, “Kami berdosa ketika kami bersungut-sungut terhadap TUHAN dan terhadap kamu. Berdoalah kepada TUHAN supaya ular-ular ini dijauhkan daripada kami.” Maka Musa berdoa kepada TUHAN untuk umat itu. Setelah itu TUHAN menyuruh Musa membuat seekor ular daripada logam dan memasangnya pada sebatang tiang, supaya sesiapa yang dipatuk ular boleh memandang ular daripada logam itu, lalu sembuh. Kemudian Musa membuat seekor ular daripada gangsa lalu memasangnya pada sebatang tiang. Setiap orang yang dipatuk ular akan sembuh jika memandang ular daripada gangsa itu.
BILANGAN 21:4-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mereka melanjutkan perjalanan dari Gunung Hor ke arah Laut Merah untuk mengelilingi Tanah Edom. Akan tetapi, bangsa itu tidak dapat menahan hati lagi di tengah jalan. Mereka merungut-rungut terhadap Allah dan Musa, “Mengapakah kamu memimpin kami keluar dari Mesir? Supaya kami mati di gurun? Sesungguhnya, di sini tidak ada roti dan tidak ada air, dan kami muak dengan makanan tidak berguna ini!” Kemudian TUHAN melepaskan ular-ular berbisa ke tengah-tengah bangsa itu. Ular-ular itu memagut umat itu sehingga banyak rakyat Israel yang mati. Maka datanglah bangsa itu kepada Musa dan berkata, “Kami telah berdosa kerana kami berkata-kata melawan TUHAN dan kamu. Berdoalah kepada TUHAN supaya Dia menjauhkan ular-ular ini daripada kami.” Lalu Musa berdoa bagi bangsa itu, dan TUHAN berfirman kepada Musa, “Buatlah arca ular berbisa dan letaklah di atas sebatang tiang. Sesiapa pun yang dipagut oleh ular tadi akan tetap hidup kalau dia melihat arca ular itu.” Lalu Musa membuat ular tembaga dan meletakkannya di atas sebatang tiang. Jika ada sesiapa yang dipagut oleh ular, dia akan memandang arca ular tembaga dan terus hidup.