MATIUS 14:13-21
MATIUS 14:13-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila Yesus mendengar berita tentang Yohanes, Dia meninggalkan tempat itu dengan perahu, lalu pergi sendirian ke suatu tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai mendengar hal itu, lalu mereka meninggalkan bandar mereka dan mengikut Yesus melalui jalan darat. Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ. Pada petang harinya, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.” Tetapi Yesus menjawab, “Mereka tidak usah pergi; kamu sendiri beri mereka makanan.” Pengikut-pengikut-Nya berkata, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan!” Yesus berkata, “Bawalah makanan itu kepada-Ku.” Kemudian Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Lalu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Kemudian Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. Jumlah orang lelaki yang makan kira-kira lima ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak.
MATIUS 14:13-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Shahadan apabila didŭngar ulih Isa akan hal itu, maka undorlah iya deri sana dŭngan bŭrprahu, kapada suatu tŭmpat yang sunyi sa’orang dirinya; maka apabila didŭngar ulih sagala orang, maka diikotnyalah dia dŭngan bŭrjalan kaki kluar deri dalam nŭgri nŭgri. Maka apabila turonlah Isa kadarat, maka dilihatnya tŭrlalu banyak orang itu, maka kasihanlah iya akan marika itu, sŭrta disŭmbohkannya sagala orang yang sakit diantaranya. ¶ Shahadan apabila pŭtanglah hari, lalu datanglah murid muridnya kapadanya bŭrkata, Bahwa tŭmpat ini tŭmpat sunyi, maka hari pun hampirlah malam; lŭpaskanlah kiranya sagala orang ini, supaya iya pŭrgi kapada duson duson itu mŭmbli makanannya. Maka sahut Isa padanya, Ta’usahlah marika itu pŭrgi, kamulah mŭmbri makan akan marika itu. Maka jawab marika itu padanya, Suatu pun tiada pada kami disini, mŭlainkan lima buah roti, dan dua ekor ikan sahja. Maka katanya, Bawalah itu kapadaku kamari. Maka disurohnyalah sagala marika itu dudok dirumpot, lalu diambilnyalah lima buah roti dan dua ekor ikan itu, lalu tŭngadahlah iya kŭlangit, sŭrta dibŭrkatinya, maka dipŭchah kannya roti itu lalu dibrikannya katangan murid muridnya, dan murid muridnya pula mŭmbrikan kapada sagala orang itu. Lalu makanlah skalian marika itu sampie kŭnyang; maka diangkat oranglah sisa sisa yang tinggal itu dua blas bakol pŭnoh banyaknya. Adapun banyak orang yang makan itu, adalah kira kira lima ribu laki laki, lain pula sagala pŭrampuan dan kanak kanak.
MATIUS 14:13-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sebaik-baik mendengar tentang Yohanes, Yesus menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun demikian, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Yesus melalui jalan darat dari kota. Setelah Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit dalam kalangan mereka. Apabila menjelang petang, para murid Yesus mendapatkan-Nya lalu berkata, “Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.” Tetapi Yesus menjawab, “Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.” Kata para murid Yesus, “Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.” Yesus berkata, “Bawalah makanan itu kepada-Ku.” Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul. Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.