IMAMAT 19:9-18

IMAMAT 19:9-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila kamu menuai hasil tanaman, jangan tuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang. Jangan kembali ke ladang untuk menuai hasil tanaman yang tertinggal setelah dituai. Jangan kumpulkan buah anggur yang tertinggal selepas kamu memetiknya pada kali pertama; jangan pungut buah anggur yang sudah jatuh. Tinggalkanlah semua itu untuk orang miskin dan orang asing. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan curi apa pun; jangan tipu sesiapa pun; jangan berdusta. Jangan berjanji demi nama-Ku jika kamu tidak bermaksud menepati janji itu. Perbuatan demikian menghina nama-Ku. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan perdayakan orang, dan jangan rompak sesiapa pun. Jangan tahan upah orang yang sudah bekerja untukmu, jangan tahan upahnya walaupun untuk satu malam. Jangan kutuk orang tuli, dan jangan letakkan batu sandungan di hadapan orang buta sehingga dia jatuh. Kamu harus takut akan Aku; Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan berlaku curang apabila kamu mengadili perkara orang. Jangan berlaku berat sebelah, sama ada terhadap orang yang miskin ataupun yang kaya. Jangan sebarkan fitnah tentang orang lain. Apabila seseorang diadili, jangan berikan kesaksian palsu yang menyebabkan orang itu dihukum mati. Akulah TUHAN. Jangan berdendam terhadap sesiapa pun. Selesaikanlah perselisihan kamu dengan dia, supaya kamu tidak berdosa kerana orang itu. Jangan balas dendam terhadap sesiapa pun, atau terus-menerus membenci orang. Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri. Akulah TUHAN.

IMAMAT 19:9-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila kamu menuai hasil tanahmu, hendaklah kamu menuai ladangmu tidak habis sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut saki-baki tuaianmu. Demikian jugalah, jangan kamu petik kebun anggurmu sampai habis licin dan janganlah kamu pungut buah-buah yang berguguran di kebun anggurmu. Hendaklah kamu tinggalkan semua itu untuk para fakir miskin serta pendatang. Akulah TUHAN, Allahmu. Jangan mencuri, menipu atau berbohong antara satu sama lain. Jangan bersumpah palsu atas nama-Ku agar jangan sampai kamu mencemarkan nama Allahmu. Akulah TUHAN. Jangan menindas atau merompak jiranmu; dan secara khususnya, jangan kamu tahan pembayaran upah seseorang semalaman sampai pagi harinya. Jangan kamu mengutuk orang yang pekak dan jangan kamu letakkan batu sandungan di laluan orang buta. Takutlah kepada Allahmu. Akulah TUHAN. Jangan berlaku tidak adil dalam pengadilan, usah bersikap berat kepada orang miskin dan usah lebih menghormati kalangan yang besar dan berkuasa, melainkan mengadili sesama manusia secara benar. Jangan ke sana ke mari menyebar fitnah dalam kalangan umat sebangsamu, namun begitu jangan berdiam diri sahaja tatkala nyawa jiranmu terancam. Akulah TUHAN. Jangan kamu membenci saudaramu dalam hatimu tetapi berikan teguran sesamamu secara berterus terang agar kamu tidak terbawa dosa kerana dia. Jangan membalas dendam ataupun berdendam kepada sesiapa antara umat sebangsamu, tetapi sebaliknya, kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri. Akulah TUHAN.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami