YOHANES 3:1-2,16-20
YOHANES 3:1-2 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada seorang pemimpin Yahudi bernama Nikodemus; dia daripada golongan Farisi. Pada suatu malam dia datang kepada Yesus lalu berkata kepada-Nya, “Guru, kami tahu bahawa guru diutus oleh Allah untuk mengajar kami. Tidak seorang pun dapat melakukan mukjizat seperti yang guru lakukan, kecuali Allah menyertai dia.”
YOHANES 3:16-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal. Penghakiman itu berdasarkan hal ini: Cahaya itu sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada cahaya kerana perbuatan mereka jahat. Sesiapa yang melakukan kejahatan membenci cahaya, dan tidak mahu datang kepada cahaya, supaya perbuatannya yang jahat tidak kelihatan.
YOHANES 3:1-2 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BŬRMULA maka adalah sa’orang orang Farisia yang bŭrnama Nikudimas, iya itu pŭnghulu orang Yahudi adanya. Maka datanglah iya kapada Isa pada malam hari, lalu katanya, Hie Rabbi, bahwa kami kŭtahui, maka angkaulah sa’orang guru yang tŭlah datang deripada Allah, kŭrna sa’orang pun tiada bulih mŭmbuat sagala mujizat yang spŭrti angkau pŭrbuat ini, jikalau tiada Allah bŭsŭrta dŭngan dia.
Injil Yahya 3:16-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Kŭrna Allah tŭrsangatlah mŭngasihi orang isi dunia ini; sahingga dikurniakannya Anaknya yang tunggal itu, supaya barang siapa yang pŭrchaya akan dia, tiada iya akan binasa, mŭlainkan mŭndapat hidop yang kŭkal. Kŭrna bukannya Allah mŭnyurohkan Anaknya itu masok kŭdalam dunia, supaya mŭnghukumkan orang isi dunia ini, mŭlainkan supaya orang isi dunia ini bŭrulih slamat deri padanya. ¶ Maka orang yang pŭrchaya akan dia itu tŭrlŭpas deripada hukuman, tŭtapi orang yaug tiada pŭrchaya akan dia, maka adalah iya itu sŭrasa dalam hukum, sŭbab iya tiada pŭrchaya akan nama Anak Allah yang tunggal itu. Maka inilah hukuman, trang itu tŭlah datang kŭdalam dunia, tŭtapi manusia itu bŭrsuka suka juga dalam gŭlap tŭrlebih deripada trang itu, kŭrna pŭrbuatannya itu jahat adanya. Kŭrna tiap tiap orang yang bŭrbuat jahat itu bŭnchilah iya akan trang itu, dan tiada iya mahu datang kapada trang, asal jangan kŭjahatannya itu kŭlak ditŭmplakkan.
YOHANES 3:1-2 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi daripada golongan Farisi yang bernama Nikodemus. Dia mengunjungi Yesus pada suatu malam lalu berkata, “Rabbi, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya.”
Yohanes 3:16-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan. Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudah pun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Anak Tunggal Allah. Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah.