YOHANES 13:18-22
YOHANES 13:18-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Apa yang Aku katakan itu bukanlah tentang kamu semua. Aku mengenal siapa-siapa yang sudah Aku pilih. Tetapi apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku, ‘Orang yang makan dengan Aku akan melawan Aku.’ Aku memberitahu kamu perkara ini sekarang, sebelum semuanya berlaku. Apabila perkara itu berlaku kelak, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang menyambut orang yang Aku utus, menyambut Aku; sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, hati-Nya gelisah. Lalu Dia berkata dengan terus terang, “Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut Yesus saling memandang, kerana mereka tidak mengetahui orang yang dimaksudkan oleh-Nya.
YOHANES 13:18-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka bukannya aku bŭrkata derihal kamu sŭmua, kŭrna aku tahu siapa yang tŭlah kupileh; tŭtapi supaya pŭrkataan kitab itu digŭnapi, adapun orang yang makan roti sŭrtaku, tŭlah mŭngangkat tŭmitnya mŭlawan aku. Adapun skarang ini aku mŭngatakan padamu itu sŭbŭlom iya jadi, supaya apabila jadinya kŭlak, kamu bulih pŭrchaya, bahwasanya akulah dia itu. Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, orang yang mŭnyambut barang siapa surohanku, sŭrasa iya mŭnyambut aku, dan orang yang mŭnyambut aku, sŭrasa iya mŭnyambut akan dia yang mŭnyurohkan aku. Bŭrmula sŭtlah sudah Isa bŭrkata dŭmkian itu, maka bŭrduka chitalah hatinya, sambil iya bŭrsaksi, lalu bŭrkata, Sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, bahwa sa’orang deri antara kamu akan mŭnyŭrahkan aku kŭtangan musohku. Maka tŭtkala itu murid muridnya itu pun bŭrpandang pandanganlah sa’orang akan sa’orang, sŭrta dŭngan shaknya akan siapa juga garangan dikatakannya itu.
YOHANES 13:18-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat dalam Kitab Suci pastilah terlaksana, ‘Orang yang makan bersama-Ku telah berpaling menentang-Ku.’ Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menerima orang yang Kuutus, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Dia yang mengutus-Ku.” Setelah melafazkan kata-kata itu, Yesus berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Para murid Yesus berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Yesus.