YESAYA 2:1-4
YESAYA 2:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
Inilah perkhabaran tentang Yehuda dan Yerusalem yang diberikan Allah kepada Yesaya anak Amos: Pada masa hadapan bukit tempat Rumah TUHAN akan menjadi bukit yang tertinggi antara segala bukit yang lain. Semua bangsa akan berduyun-duyun ke sana, dan mereka akan berkata, “Marilah kita pergi ke bukit TUHAN, ke rumah Allah Israel. Dia akan mengajar kita tentang kehendak-Nya; dan kita akan mengikut jalan yang dipilih-Nya, kerana ajaran TUHAN berasal dari Yerusalem; dari Sion Dia berfirman kepada umat-Nya.” Dia akan menghakimi bangsa-bangsa, dan menyelesaikan perselisihan mereka. Mereka akan menempa pedang menjadi bajak, dan tombak menjadi pisau pemangkas. Bangsa-bangsa tidak lagi berperang, dan tidak lagi bersiap untuk menyerang.
YESAYA 2:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Firman yang dinyatakan kepada Yesaya anak Amos tentang Yehuda dan Yerusalem. Pada hari-hari terakhir, gunung tempat Bait TUHAN akan ditegakkan sebagai puncak semua gunung dan akan ditinggikan melebihi bukit-bukit. Semua bangsa akan berduyun-duyun ke sana. Banyak suku akan datang dan berkata, “Mari kita naik ke gunung TUHAN, ke Rumah Allah Yakub. Dia akan mengajar jalan-jalan-Nya kepada kita, sehingga kita dapat melangkah di jalan-jalan-Nya.” Sememangnya, hukum akan keluar dari Sion, dan firman TUHAN dari Yerusalem. Dia akan menjadi hakim antara bangsa-bangsa dan akan memutuskan perkara bagi banyak suku bangsa. Mereka akan menempa pedang mereka menjadi mata bajak, dan tombak mereka menjadi pisau pemangkas. Bangsa tidak akan lagi mengangkat pedang terhadap bangsa, dan mereka tidak akan lagi belajar berperang.