IBRANI 10:10-23

IBRANI 10:10-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukan-Nya satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu, kita semua dibersihkan daripada dosa. Setiap imam Yahudi menjalankan tugas tiap-tiap hari dan berulang kali mempersembahkan korban yang sama. Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menghapuskan dosa. Sebaliknya, Kristus mempersembahkan hanya satu korban untuk pengampunan dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Setelah itu Dia duduk di sebelah kanan Allah. Sekarang Dia menantikan masanya Allah menjadikan musuh-musuh-Nya sebagai alas kaki-Nya. Demikianlah dengan satu korban, untuk selama-lamanya Dia menyempurnakan orang yang sudah disucikan daripada dosa. Roh Allah juga memberikan kesaksian kepada kita. Roh Allah berkata, “Inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan mereka pada masa akan datang, firman Tuhan, Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam hati mereka, dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.” Dia juga berkata, “Aku akan melupakan segala dosa dan kejahatan mereka.” Oleh itu, apabila segala dosa dan kejahatan itu sudah diampunkan, persembahan korban untuk pengampunan dosa tidak diperlukan lagi. Oleh itu, saudara-saudara-ku, dengan kematian Yesus kita mempunyai kebebasan penuh untuk masuk ke Bilik Maha Suci. Yesus sudah membuka satu jalan baru bagi kita, jalan yang memberikan kehidupan. Jalan itu melalui tirai, iaitu tubuh Yesus sendiri. Sekarang kita mempunyai imam agung, yang bertanggungjawab terhadap rumah Allah. Oleh itu, marilah kita hampiri Allah dengan hati yang tulus dan iman yang teguh, dengan hati yang sudah disucikan daripada perasaan bersalah, dan dengan tubuh yang sudah dibersihkan oleh air bersih. Hendaklah kita berpegang teguh kepada harapan yang kita akui, kerana Allah dapat dipercayai dan Dia akan menepati janji-Nya.

IBRANI 10:10-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka ulih kahandaknya itulah kami tŭlah disuchikan dŭngan bŭrkat pŭrsŭmbahan tuboh Isa Almasih skali gus sahja. Adapun tiap tiap imam itu iya bŭrdiri bŭrbuat ibadat sahari hari, dan mŭmpŭrsŭmbahkan korban korban srupa itu kŭrap kali, yang tiada skali kali bulih mŭnghapuskan dosa; Akan tŭtapi derihal imam ini, sŭtlah sudah iya mŭmpŭrsŭmbahkan suatu korban sŭbab dosa itu, maka dudoklah iya slama lamanya pada kanan Allah. Maka deripada waktu itulah dinantikannya sagala musoh musohnya itu mŭnjadi alas kakinya. Kŭrna dŭngan suatu pŭrsŭmbahan juga iya tŭlah mŭnyampornakan habis habis akan marika itu yang disuchikannya. Maka sŭbab itu Roh Alkudus itupun tŭlah mŭnjadi saksi pada kami, kŭrna tŭtkala Tuhan bŭrkata dahulu, Bahwa inilah waad yang handak kudirikan pada marika itu, kumdian deripada masa itu, fŭrman Tuhan, Aku akan mŭmasokkan hukumku kadalam hati marika itu, dan aku akan mŭnyuratkan dia itu dalam ingatan marika itu. Maka dosa dosanya, dan kŭsalahannya itupun tiadalah aku ingat lagi. Maka kalau ada kahapusan skalian ini, maka tiadalah lagi pŭrsŭmbahan sŭbab dosa. Shahadan sŭbab itulah saudara saudaraku, kami mŭndapat brani masok kadalam tŭmpat tŭmpat yang suchi itu dŭngan bŭrkat darah Isa, Ulih jalan bahru, dan yang slamat yang dibahrui bagie kami, mŭnŭrusi tirie, iya itulah tubohnya; Dan lagi sŭbab kami mŭndapat sa’orang imam bŭsar atas orang isi rumah Allah. Maka biarlah kami mŭnghampiri akan dia dŭngan hati yang bŭnar, dŭngan iman yang yakin, sŭbab hati kami tŭlah dipŭrchekkan deripada angan angan yang jahat, dan tuboh kami disuchikan dŭngan ayer yang pŭrsih. Maka handaklah kami bŭrpŭgang tŭgoh tŭgoh akan pŭngakuan iman kami dŭngan tiada bŭrgoyang; kŭrna sŭtiawanlah iya yang tŭlah bŭrjanji itu.

IBRANI 10:10-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Yesus Kristus, sekali untuk selama-lamanya. Setiap imam berdiri dan beribadat setiap hari serta mempersembahkan berkali-kali korban yang serupa, yang sampai bila-bila pun tidak akan dapat menghapuskan dosa. Tetapi Imam ini, setelah Dia mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa selama-lamanya, duduk di sebelah kanan Allah. Dari saat itu Dia menanti hingga musuh-musuh-Nya dijadikan alas kaki-Nya. Dengan satu persembahan Dia telah menyempurnakan untuk selama-lamanya semua orang yang disucikan. Roh Kudus juga memberikan kesaksian kepada kita; kerana setelah Dia berfirman, “Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan mereka selepas zaman itu, Tuhan berfirman: Aku akan meletakkan hukum-Ku dalam hati mereka dan menuliskannya dalam fikiran mereka.” Dia menambah, “Dosa dan perbuatan mereka yang mungkar tidak akan Kuingati lagi.” Setelah ada pengampunan, tidaklah ada lagi persembahan untuk menebus dosa. Oleh itu, saudara-saudara, kita telah mempunyai keberanian untuk masuk ke Tempat Yang Maha Suci melalui darah Yesus, melalui jalan yang baru dan hidup, yang dibukakan-Nya untuk kita, menerusi tirai, iaitu tubuh-Nya. Kita mempunyai Imam Besar di atas isi Rumah Allah. Maka marilah kita hampir dengan hati yang tulus dan iman yang teguh sepenuhnya. Hati nurani kita telah direnjis sehingga suci daripada kejahatan dan tubuh kita telah dibasuh dengan air yang bersih. Marilah kita berpegang teguh pada pengakuan harapan kita tanpa berganjak, kerana Dia yang berjanji sentiasa setia.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami