HABAKUK 1:12-17
HABAKUK 1:12-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya TUHAN, Engkau Allah sejak dahulu. Engkau Allahku yang suci dan kekal. Ya TUHAN, Allahku dan pelindungku, Engkau telah memilih orang Babilonia; Engkau menguatkan mereka supaya dapat menghukum kami. Tetapi bagaimana Engkau tahan melihat orang yang khianat dan jahat seperti mereka? Engkau terlalu suci untuk memandang kejahatan; Engkau tidak dapat tahan sabar dengan orang yang berbuat salah. Tetapi mengapa Engkau berdiam diri apabila orang Babilonia membinasakan orang yang tidak sejahat mereka? Mana boleh Engkau memperlakukan manusia seperti ikan atau seperti sekawanan serangga yang tidak mempunyai pemimpin? Orang Babilonia menangkap orang dengan mata kail, seolah-olah yang ditangkap itu ikan. Orang Babilonia menyeret tawanan mereka di dalam jala sambil bersorak-sorak kerana penangkapan itu! Bahkan mereka menyembah jala mereka dan mempersembahkan korban kepada jala itu, kerana jala memberi mereka rezeki berlimpah-limpah dan hidup mewah. Adakah selamanya mereka akan menggunakan pedang dan terus-menerus membinasakan bangsa-bangsa tanpa belas kasihan?
HABAKUK 1:12-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ya TUHAN, bukankah Engkau sememangnya ada sejak zaman-berzaman, Allahku Yang Maha Suci? Kami tidak akan mati. Ya TUHAN, Engkau telah menentukan mereka sebagai bukti penghakiman. Ya Batu Pejal kami, Engkau telah menetapkan mereka untuk menerima teguran-Mu. Mata-Mu terlalu suci untuk melihat kejahatan dan Engkau tidak dapat memandang kezaliman. Mengapakah Engkau hanya melihat pengkhianatan mereka dan berdiam diri ketika orang fasiq menelan orang yang lebih benar daripadanya? Engkau menjadikan manusia seperti ikan di laut, seperti binatang-binatang melata yang tidak mempunyai pemerintah. Dia menarik mereka semua dengan kail, menyeret mereka dengan jaring lalu mengumpulkan mereka dalam pukatnya lantas dia bersuka ria dan bergembira. Itulah sebabnya dia mempersembahkan korban bagi jaringnya dan membakar dupa bagi pukat tariknya, kerana semua peralatannya itu membolehkannya mendapat bahagian yang lumayan dan makanan yang mewah. Sebab itukah dia dapat terus mengosongkan jaring dan terus membunuh bangsa-bangsa tanpa belas kasihan?