KELUARAN 4:10-15
KELUARAN 4:10-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN. Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.” Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.” Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau. Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan.
KELUARAN 4:10-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Namun begitu, kata Musa kepada TUHAN, “Ya Tuhan, hamba-Mu ini bukan seorang yang pandai berbicara, baik dahulu mahupun sekarang, saat Engkau berfirman kepada hamba-Mu ini, kerana hamba-Mu ini berat mulut dan berat lidah.” Firman TUHAN kepadanya, “Siapakah yang menjadikan mulut manusia? Siapakah yang menjadikan orang bisu atau pekak, boleh melihat atau buta? Bukankah Aku, iaitu TUHAN? Sekarang, pergilah. Aku akan menolong kamu berbicara dan Aku akan mengajarmu apa yang patut kamu katakan.” Akan tetapi, Musa berkata, “Ya Tuhan, hamba mohon utuslah orang lain, sesiapa sahaja yang patut Kauutus.” Maka menyalalah murka TUHAN terhadap Musa, firman-Nya, “Bukankah ada Harun, abangmu, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berbicara. Apatah lagi dia telah berangkat untuk menemuimu. Apabila dia melihat kamu, akan sukacitalah hatinya. Kamu harus berbicara dengannya dan memberitahukan kata-kata tadi kepadanya. Aku akan menolong kamu dan dia untuk berbicara, dan Aku akan memberitahumu apa yang harus kamu lakukan.