AMOS 8:9-12
AMOS 8:9-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Masanya akan tiba apabila Aku menyebabkan matahari terbenam pada tengah hari dan bumi menjadi gelap pada siang hari. Aku, TUHAN Raja sudah berfirman. Perayaan kamu akan Kujadikan perkabungan, dan nyanyian gembira kamu Kujadikan ratapan. Aku akan menyebabkan kamu mencukur rambut sebagai tanda sedih, dan memakai kain guni. Kamu akan menjadi seperti ibu bapa yang meratapi kematian anak lelaki tunggal. Hari itu akan berakhir dengan penuh kesedihan. Masanya akan tiba apabila Aku mendatangkan kebuluran di negeri ini. Orang akan lapar, tetapi tidak lapar akan makanan. Orang akan dahaga, tetapi tidak dahaga akan air. Mereka lapar dan dahaga akan perkhabaran daripada TUHAN. Aku, TUHAN Raja, sudah berfirman. Orang akan mengembara dari Laut Mati ke Laut Tengah, dan selanjutnya dari utara ke timur. Di merata-rata tempat mereka akan mencari perkhabaran daripada TUHAN, tetapi mereka tidak akan mendapatnya.
AMOS 8:9-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Pada hari itu,” demikianlah firman Tuhan ALLAH, “Aku akan membuat matahari terbenam pada tengah hari dan bumi menggelap sewaktu rembang tengah hari. Akan Kuubah perayaan-perayaanmu kepada perkabungan, dan segala nyanyianmu kepada ratapan. Kain perkabungan akan Kukenakan pada setiap pinggang dan setiap kepala akan Kugondolkan. Aku akan menjadikan hal itu seperti perkabungan atas kematian si anak tunggal dan kesudahannya seperti hari yang getir.” “Sesungguhnya, akan datang waktunya,” demikianlah firman Tuhan ALLAH, “Aku akan menimpakan kebuluran atas negeri ini — bukan kelaparan dan kehausan kerana tiada makanan atau tiada air, melainkan untuk mendengar firman TUHAN. Mereka akan mengembara dari laut ke laut dan dari utara ke timur, serta menjelajah untuk mencari firman TUHAN, tetapi mereka tidak akan menemukannya.