KISAH RASUL-RASUL 16:1-5
KISAH RASUL-RASUL 16:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan kemudian ke Listra. Seorang pengikut Yesus bernama Timotius tinggal di situ. Ibunya, orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus; tetapi bapanya orang Yunani. Semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius. Paulus hendak membawa Timotius dengannya. Oleh itu Paulus menyunat Timotius, kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bahawa bapa Timotius orang Yunani. Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. Oleh itu iman jemaah semakin teguh dan setiap hari bilangan mereka semakin bertambah.
KISAH RASUL-RASUL 16:1-5 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka sampielah marika itu kanŭgri Derbi dan Listra, maka bahwa sŭsungguhnya adalah disana sa’orang murid yang bŭrnama Timothius, iya itu anak sa’orang pŭrampuan Yahudi yang pŭrchaya, tŭtapi bapanya orang Grika. Iya itu mŭndapat nama yang baik deripada sagala saudara yang diListra dan Ikoniam adanya. Maka Paulus handak mŭmbawa Timothius itu bŭrsama sama dŭngan dia sŭrta disunatkan dia, ulih sŭbab sagala orang Yahudi yang ada pada tŭmpat tŭmpat itu, kŭrna sagala marika itu mŭngŭnal akan bapanya sa’orang Grika adanya. Maka sŭmŭntara marika itu mŭnjalani sagala nŭgri, maka disŭrahkannyalah kapada marika itu akan sagala hukum yang tŭlah ditŭntukan ulih sagala rasol, dan orang tua tua yang diJerusalem, sŭrta disurohnya turot akan dia itu. Arkian maka sagala sidang jŭmaah pun tŭtaplah dalam iman, makin bŭrtambah tambah banyak bilangannya pada tiap tiap hari.
KISAH RASUL-RASUL 16:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan dari situ ke Listra. Di situ ada seorang murid Yesus bernama Timotius, ibunya orang Yahudi yang percaya kepada Yesus tetapi bapanya orang Yunani. Timotius dipandang tinggi oleh para murid Yesus di Listra dan di Ikonium. Paulus hendak membawa Timotius bersamanya. Dia pun menyunatkan Timotius kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bapanya orang Yunani. Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang telah ditetapkan oleh para rasul dan ketua-ketua di Yerusalem kepada jemaah di situ untuk dipatuhi. Dengan demikian setiap jemaah semakin teguh imannya dan setiap hari bilangan mereka meningkat.