KISAH RASUL-RASUL 11:19-26
KISAH RASUL-RASUL 11:19-26 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa Stefanus dibunuh, orang yang percaya kepada Yesus tercerai-cerai kerana dianiaya. Ada yang lari sampai ke Fenisia, Siprus, dan Antiokhia. Mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada orang Yahudi sahaja. Tetapi beberapa orang pengikut Yesus yang berasal dari Siprus dan Kirene, pergi ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan Berita Baik tentang Tuhan Yesus kepada orang bukan Yahudi. Kuasa Tuhan menyertai mereka sehingga banyak orang percaya kepada Tuhan dan mengikut Dia. Jemaah di Yerusalem mendengar peristiwa itu. Oleh itu mereka mengutus Barnabas ke Antiokhia. Apabila dia tiba di Antiokhia dan melihat Allah memberkati orang di situ, dia bersukacita. Lalu dia menggalakkan mereka semua supaya tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Barnabas seorang yang baik, dikuasai oleh Roh Allah dan sangat percaya kepada Tuhan, dan banyak orang mengikut Tuhan. Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus untuk mencari Saulus. Apabila dia menjumpai Saulus, Barnabas membawa Saulus ke Antiokhia, dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokhia, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian.
KISAH RASUL-RASUL 11:19-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Sŭbarmula adapun sagala orang yang tŭrchŭrie bŭrie ulih sŭbab annyaya yang datang ulih kŭrna Istifanus itu, maka mŭlaratlah marika itu skalian sampie kapada nŭgri Fenikia, dan Kiprus, dan Antiok, dimashorkanlah ulih marika itu fŭrman itu kapada orang Yahudi sahja. Maka adalah diantara marika itu bŭbrapa orang nŭgri Kiprus dan Sirini, maka apa bila datanglah marika itu kaAntiok, maka dichŭtrakannyalah kapada orang Grika, sambil dimashorkannya deri hal Tuhan Isa. Maka adalah tangan Tuhan mŭnyŭrtai marika itu, maka banyaklah orang yang pŭrchaya sŭrta bŭrtaubat akan Tuhan. Maka kadŭngaranlah khabar itu katŭlinga sidang jŭmaah yang ada diJerusalem, lalu disurohkannyalah Barnabas pŭrgi sampie kaAntiok. Maka apabila sampielah iya kŭsana, sŭrta mŭlihat anugrah Allah itu, lalu suka chitalah iya, sambil dibrinya nasihat kapada sagala orang, supaya bŭrsungguh sungguh hatinya lŭkat pada Tuhan. Kŭrna Barnabas itu sa’orang baik, dan hatinya pun pŭnoh dŭngan Roh Alkudos, dan iman, maka mŭnjadi banyaklah orang bŭrtambah tambah kapada Tuhan. Maka kluarlah Barnabas pŭrgi kanŭgri Tarsus, iya itu handak mŭnchari Saul. Maka sŭtlah sudah iya bŭrtŭmu dŭngan dia, maka dibawanyalah kaAntiok. Bŭrmula adalah marika itu bŭrhimpon bŭrsama sama dŭngan sidang jŭmaah sa’tahun lamanya, sambil mŭngajar banyak orang. Adapun pada mula mula dinŭgri Antiok disŭbot orang akan murid murid itu, orang Masihi.
KISAH RASUL-RASUL 11:19-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Fenisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi; tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu mengkhabarkan berita baik tentang Tuhan Yesus kepada orang Yunani. Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya. Jemaah di Yerusalem mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia. Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Kudus dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan. Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul; setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para murid mula-mula disebut orang Kristian.