2 RAJA-RAJA 6:8-17

2 RAJA-RAJA 6:8-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu ketika, raja negeri Siria sedang berperang melawan Israel. Setelah berunding dengan para panglima baginda, raja Siria memilih satu tempat, lalu mendirikan perkhemahan baginda di situ. Tetapi Elisa menyuruh orang memberitahukan hal itu kepada raja Israel, serta memberikan amaran supaya mereka tidak mendekati tempat itu, kerana orang Siria sedang mengadang di situ. Raja Israel memberikan amaran kepada orang yang tinggal di situ supaya mereka berwaspada. Begitulah beberapa kali Elisa memperingatkan raja. Raja negeri Siria menjadi sangat gusar kerana hal itu. Baginda memanggil para panglima lalu bertanya kepada mereka, “Siapakah antara kamu yang berpihak kepada raja Israel?” Salah seorang antara mereka menjawab, “Tidak sesiapa, tuanku. Nabi Elisa yang memberitahu raja Israel hal itu, bahkan perkataan yang tuanku ucapkan di bilik tidur.” “Carilah dia,” titah raja, “lalu beta akan menangkapnya.” Apabila raja diberitahu bahawa Elisa berada di Dotan, baginda mengirim satu pasukan besar ke sana dengan kuda dan kereta kuda. Pasukan tentera itu tiba di kota itu pada malam hari, lalu mereka mengepung kota itu. Esok paginya hamba Elisa bangun, lalu keluar dari rumah dan nampak tentera Siria dengan kuda dan kereta kuda mereka mengelilingi kota itu. Dia balik kepada Elisa dan berseru, “Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?” “Janganlah takut,” kata Elisa. “Yang di pihak kita lebih banyak daripada yang di pihak mereka.” Kemudian Elisa berdoa, “Ya TUHAN, celikkanlah mata hambaku ini supaya dia dapat melihat!” TUHAN mengabulkan doanya. Hamba Elisa menengadah dan nampak bukit itu penuh dengan kuda dan kereta kuda berapi di sekeliling Elisa.

2 RAJA-RAJA 6:8-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Raja Aram sedang berperang melawan orang Israel. Dia berunding dengan para pegawainya, katanya, “Di tempat sini dan situ aku akan mendirikan perkhemahanku.” Akan tetapi, hamba Allah menyuruh orang menemui raja Israel dengan pesan, “Hati-hati, jangan lalui tempat itu, kerana orang Aram sedang turun ke sana untuk mengadang.” Oleh sebab itu raja Israel menyuruh orang untuk memeriksa tempat yang disebutkan hamba Allah itu kepadanya. Lebih dari satu dua kali Elisa mengingatkan dia, sehingga hal itu memungkinkan dia untuk berjaga-jaga di sana. Maka gusarlah hati raja Aram kerana hal itu. Dipanggilnya para pegawainya lalu dia bertanya mereka, “Tidakkah kamu mahu memberitahukan kepadaku, Siapakah dari antara kita yang memihak kepada raja Israel?” Salah seorang pegawainya berkata, “Tidak ada, ya Tuanku Raja, tetapi Elisa, nabi yang di Israel itu, dialah yang menyampaikan kepada raja Israel apa yang tuanku titahkan di dalam bilik tidur tuanku.” Kata raja, “Pergilah, selidiki di mana dia berada supaya aku dapat menyuruh orang untuk menangkapnya.” Lalu kepadanya dikhabarkan, “Ketahuilah, dia ada di Dotan.” Maka dikirimnya ke sana kuda, rata, dan pasukan yang besar. Mereka sampai pada malam hari lalu mengepung kota itu. Ketika pembantu hamba Allah bangun pagi-pagi dan pergi ke luar, dilihatnya suatu pasukan dengan kuda dan rata mengepung kota itu. Maka kata pembantu itu kepada tuannya, “Aduh, tuanku! Apakah yang harus kita lakukan?” Jawabnya, “Jangan takut, kerana yang menyertai kita lebih ramai daripada yang menyertai mereka.” Lalu Elisa berdoa, katanya, “Ya TUHAN, bukalah kiranya matanya supaya dia dapat melihat.” Maka TUHAN membuka mata pembantu itu sehingga dia dapat melihat bahawa sesungguhnya gunung itu penuh dengan kuda dan rata berapi mengelilingi Elisa.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami