2 RAJA-RAJA 18:4-7
2 RAJA-RAJA 18:4-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Baginda memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, memecahkan tiang-tiang batu, dan merobohkan patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menghancurkan ular gangsa yang dibuat oleh Musa dahulu, yang dikenal sebagai Nehustan, kerana hingga masa itu umat Israel masih membakar kemenyan untuk menghormati ular gangsa itu. Raja Hizkia percaya kepada TUHAN, Allah Israel. Tidak pernah lagi Yehuda mempunyai raja seperti Raja Hizkia, baik sebelum ataupun sesudah pemerintahan baginda. Raja Hizkia taat kepada TUHAN, dan tidak pernah membantah-Nya. Dengan sungguh-sungguh baginda mentaati segala perintah yang telah diberikan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa. Oleh itu TUHAN menyertai baginda, dan baginda berjaya dalam segala usahanya. Baginda memberontak terhadap raja Asyur dan tidak mahu takluk kepadanya.
2 RAJA-RAJA 18:4-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Disingkirkannya bukit-bukit pemujaan, dihancurkannya tiang-tiang berhala, dan ditebangnya patung-patung Asyera. Dia pun menghancurkan ular tembaga yang dibuat oleh Musa, kerana sampai pada masa itu orang Israel masih membakar dupa bagi ular tembaga itu, yang dinamai Nehustan. Hizkia meyakini TUHAN, Allah Israel. Tidak ada yang seperti dia antara semua raja Yehuda, sebelum ataupun sesudahnya. Dia berpaut kepada TUHAN, tidak menyimpang melainkan terus mengikuti Dia, serta berpegang teguh pada perintah-perintah yang diberikan TUHAN kepada Musa. Maka TUHAN menyertainya. Ke mana-mana pun dia pergi, dia berjaya. Dia memberontak melawan raja Asyur dan tidak lagi tertakluk kepadanya.