2 YOHANES 1:1-11

2 YOHANES 1:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Kepada puan yang dipilih oleh Allah dan kepada anak-anak puan. Surat ini daripada saya, pemimpin jemaah yang benar-benar mengasihi puan dan anak-anak puan. Bukan hanya saya seorang yang mengasihi puan dan anak-anak puan, tetapi juga semua orang yang mengenal Allah, kerana Allah ada di dalam hati kita dan menyertai kita selama-lamanya. Semoga Allah Bapa dan Yesus Kristus, Anak Bapa itu mengurniai kita berkat, rahmat, dan kesejahteraan. Semoga kita memiliki semua itu dengan hati yang tulus dan dengan kasih. Saya sangat gembira kerana mengetahui beberapa orang antara anak-anak puan hidup menurut ajaran Allah, seperti yang diperintahkan oleh Allah Bapa kepada kita. Oleh itu, puan, saya meminta supaya kita saling mengasihi. Saya tidak mengemukakan satu perintah baru; perintah ini telah diberikan sejak kita percaya kepada Kristus. Mengasihi satu sama lain bererti hidup menurut perintah Allah. Inilah perintah yang telah puan dan anak-anak puan dengar sejak permulaan: Puan dan anak-anak puan harus saling mengasihi. Banyak penipu telah pergi ke seluruh dunia. Mereka tidak mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia. Orang semacam itu penipu dan Musuh Kristus. Oleh itu, berwaspadalah supaya tidak kehilangan apa yang telah kami usahakan untuk puan dan anak-anak puan. Berusahalah supaya puan dan anak-anak puan menerima pahala sepenuhnya daripada Allah. Sesiapa yang tidak berpegang kepada ajaran Kristus tetapi melampaui ajaran itu, tidak mempunyai Allah. Sesiapa yang berpegang kepada ajaran itu, mempunyai Allah Bapa dan Anak. Oleh itu, jika sesiapa datang dan memberitakan ajaran yang tidak diajarkan oleh Kristus, janganlah sambut dia ke dalam rumah puan dan anak-anak puan. Janganlah berkata kepadanya, “Salam sejahtera.” Hal ini demikian, kerana sesiapa yang memberikan salam kepada orang semacam itu, menjadi subahat dalam perbuatannya yang jahat.

2 YOHANES 1:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

DERIPADA orang tua iya itu datang kapada siti yang tŭrpileh, sŭrta anak anaknya yang kukasih dŭngan sŭbŭnarnya; maka bukannya aku sahja, mŭlainkan sagala orang yang tŭlah mŭngatahui kabŭnaran; Maka dŭngan sŭbab kabŭnaran yang ada dalam kami, dan yang kŭlak ada pada kami sampie slama lamanya. Bahwa anugrahlah kiranya pada kamu, dan rahmat, dan sŭjahtra, deripada Allah iya itu Ayah, dan deripada Tuhan Isa Almasih, iya itu anak Ayah, dalam kabŭnaran dan kasih. Maka sukachitalah aku tŭramat sangat yang aku tŭlah mŭndapat anak anakmu mŭnjalani dalam kabŭnaran, spŭrti yang kami tŭlah mŭnŭrima hukum deripada Ayah itu. Maka skarang kupohonkanlah kapadamu, siti, bahwa bukannya sa’olah olah aku suratkan kapadamu hukuman bahru, mŭlainkan yang tŭlah kami mŭndapat deripada mulanya, iya itu patut kami mŭngasihi sa’orang akan sa’orang. Inilah kasih, iya itu yang kami patut mŭlakukan mŭnurot hukum hukumannya. Inilah dia hukuman itu, iya itu spŭrti yang kami tŭlah mŭnŭngar deripada pŭrmulaannya, patutlah kami mŭlakukan dia. Kŭrna banyak pŭnipu tŭlah masok kadalam dunia, yang tiada diakunya Isa Almasih sudah datang dŭngan pri manusia. Maka itulah dia pŭnipu dan lawanan Almasih adanya. Tengoklah kamu sŭndiri, supaya jangan kami hilangkan pŭrkara pŭrkara yang kami tŭlah mŭngŭrjakan itu, mŭlainkan kami mŭnŭrima fahala dŭngan sŭpŭnoh pŭnohnya. Maka barang siapa yang mungkir, dan tiada tŭtap dalam pŭngajaran Almasih itu, maka tiadalah Allah padanya; maka barang siapa yang tŭtap dalam pŭngajaran Almasih itu, adalah kapadanya kaduanya, iya itu Ayah dan Anak itu pun. Maka jikalau barang sa’orang datang kapadamu dŭngan tiada mŭmbawa pŭngajaran ini, janganlah kamu trima akan dia kadalam rumahmu, dan janganlah kamu bri aliehi alsŭlam akan dia. Kŭrna barang siapa yang mŭmbri aliehi alsŭlam akan dia, maka iyalah sa’orang yang mŭndapat bahgian pŭrbuatannya yang jahat itu.

2 YOHANES 1:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daripadaku, seorang tua-tua, Kepada puan yang terpilih dan kepada anak-anaknya, yang kukasihi dalam kebenaran. Bukan aku sahaja yang mengasihimu malah sekalian yang mengenal kebenaran — kerana kebenaran ada dalam diri kita dan akan kekal dalam diri kita selama-lamanya: Semoga kasih kurnia, belas kasihan dan damai sejahtera daripada Allah Bapa dan Yesus Kristus, Anak daripada Bapa, menyertai kita dalam kebenaran dan kasih. Aku sungguh sukacita mengetahui bahawa sebilangan anak puan hidup mengikut kebenaran, sebagaimana yang diperintahkan kepada kita oleh Bapa. Sekarang, puan yang dikasihi, aku memohon agar kita kasih-mengasihi. Aku bukannya mengemukakan perintah baru. Perintah ini telah disampaikan dari mula-mulanya lagi. Inilah kasih, iaitu mengasihi bermakna hidup mengikut perintah Allah. Inilah perintah yang kamu dengar dari mulanya: Kamu haruslah kasih-mengasihi. Ramai penipu telah menjelajah ke seluruh dunia. Mereka itu tidak mengakui bahawa Yesus Kristus telah datang ke dunia sebagai manusia. Orang sedemikian ialah penipu dan dajal, penentang Kristus. Oleh yang demikian, berhati-hatilah supaya apa yang telah kami usahakan tidak lenyap begitu sahaja, melainkan kamu mendapat ganjaranmu sepenuhnya. Sesiapa yang tidak mengikut ajaran Kristus dan melanggarnya, maka Allah tidak ada dalam dirinya. Sesiapa yang mengikut ajaran itu maka Bapa dan Anak ada dalam dirinya. Oleh itu, jika sesiapa datang menyebarkan ajaran selain ajaran Kristus, janganlah alu-alukan dia ke dalam rumahmu. Janganlah berikan salam kepadanya. Sesungguhnya, jika sesiapa memberi salam kepada orang sedemikian, berertilah dia bersubahat dengannya melakukan perbuatan yang durjana.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami