1 SAMUEL 30:1-6,18-19
1 SAMUEL 30:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Dua hari kemudian, Daud dan anak buahnya tiba di Ziklag. Orang Amalek sudah merompak bahagian selatan negeri Yehuda lalu menyerang Ziklag. Mereka membakar kota Ziklag, dan menawan semua kaum wanita. Mereka belum membunuh sesiapa pun, tetapi mereka telah melarikan setiap orang ketika mereka meninggalkan kota itu. Apabila Daud dan anak buahnya tiba di sana, mereka mendapati kota itu sudah dibakar dan anak isteri mereka telah dilarikan musuh. Daud dan anak buahnya menangis dengan pilu dan tidak berhenti-henti sehingga mereka tidak dapat menangis lagi. Kedua-dua orang isteri Daud, Ahinoam dan Abigail, sudah dilarikan juga. Kini Daud dalam kesusahan besar. Anak buahnya marah terhadapnya kerana mereka sudah kehilangan anak isteri. Mereka mengancam untuk merejam Daud, tetapi TUHAN Allahnya menguatkan hatinya.
1 SAMUEL 30:18-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Daud berjaya mengambil semula semua yang dirampas oleh orang Amalek, termasuk kedua-dua orang isterinya; tiada suatu apa pun yang hilang. Daud mendapatkan semula semua anak lelaki dan anak perempuan anak buahnya, serta segala sesuatu yang sudah dijarah oleh orang Amalek.
1 SAMUEL 30:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setibanya Daud dan anak buahnya di Ziklag pada hari ketiganya, ternyata orang Amalek telah menyerang Tanah Negeb dan Ziklag. Mereka mengalahkan serta membakar habis Ziklag. Mereka juga menawan kaum perempuan dan semua orang yang ada di sana, daripada yang kecil kepada yang besar. Mereka tidak membunuh seorang pun, tetapi mereka menawan semuanya lalu meneruskan perjalanan mereka. Setibanya Daud berserta anak buahnya di kota itu, tampaklah betapa kota itu sudah terbakar manakala para isteri mereka serta anak-anak mereka, baik lelaki mahupun perempuan, telah ditawan. Maka amat nyaringlah tangisan Daud serta umat yang menyertainya, sampai mereka tidak kuat lagi untuk menangis. Kedua-dua orang isteri Daud, iaitu Ahinoam orang Yizreel, dan Abigail, balu Nabal, orang Karmel itu, turut ditawan. Daud menjadi begitu tertekan apabila rakyat berkata hendak merejamnya dengan batu. Memang seluruh rakyat itu berasa amat pedih lantaran tertawannya anak masing-masing, baik lelaki mahupun perempuan. Namun begitu, Daud menguatkan hati di dalam TUHAN, Allahnya.
1 Samuel 30:18-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daud merebut kembali segala sesuatu yang diambil oleh orang Amalek, dan Daud pun membebaskan kedua-dua orang isterinya. Tidak ada yang kurang pada mereka, daripada yang kecil kepada yang besar, baik anak lelaki mahupun anak perempuan, juga rampasan serta segala sesuatu yang telah diambil oleh orang Amalek itu. Daud membawa kembali semuanya.