1 SAMUEL 19:1-6
1 SAMUEL 19:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Saul memberitahu Yonatan, puteranya, dan semua pegawainya bahawa baginda merancang untuk membunuh Daud. Tetapi Yonatan sangat mengasihi Daud, lalu dia berkata kepada Daud, “Bapaku berusaha untuk membunuh kamu. Esok pagi berhati-hatilah. Bersembunyilah di suatu tempat rahsia dan tinggallah di situ. Aku akan pergi ke padang bersama dengan bapaku dan berdiri dekat tempat kamu bersembunyi. Lalu aku akan bercakap dengan dia tentang maksudnya terhadapmu. Jika aku mengetahui apa-apa, aku akan memberitahu kamu.” Yonatan mengatakan hal-hal baik tentang Daud kepada Raja Saul, katanya, “Ayah, janganlah celakakan Daud, hamba ayah. Dia tidak berbuat kesalahan apa-apa terhadap ayah; sebaliknya, dia sudah berjasa banyak kepada ayah. Dia telah mempertaruhkan nyawanya ketika dia membunuh Goliat, dan TUHAN telah memberikan kemenangan yang besar kepada Israel. Ayah sendiri telah menyaksikannya, dan ayah berasa gembira pada waktu itu. Mengapakah sekarang ayah hendak menganiaya seorang yang tidak bersalah, dan mahu membunuh Daud tanpa sebab?” Raja Saul insaf setelah mendengar kata-kata Yonatan itu, lalu baginda bersumpah demi TUHAN bahawa baginda tidak akan membunuh Daud.
1 SAMUEL 19:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saul mengatakan kepada Yonatan, anaknya, dan kepada semua pegawainya bahawa Daud harus dibunuh. Akan tetapi, Yonatan anak Saul sangat suka pada Daud. Oleh itu, Yonatan memberitahukan hal itu kepada Daud. Katanya, “Saul, ayahku, berikhtiar untuk membunuh engkau. Sekarang, berjaga-jagalah. Esok pagi, diamlah di sebuah tempat terlindung dan bersembunyilah. Aku akan keluar dan berdiri di sisi ayahku di padang, tempat engkau berada. Aku akan berbicara mengenai engkau kepada ayahku, dan hasilnya akan kukhabarkan kepadamu.” Yonatan mengatakan hal yang baik tentang Daud kepada Saul, ayahnya. Katanya kepadanya, “Janganlah Raja berbuat dosa terhadap hambanya, iaitu Daud, kerana dia tidak berbuat dosa terhadap engkau, dan segala sesuatu yang dikerjakannya pun sangat baik bagimu. Dia telah mempertaruhkan nyawanya dan menumpaskan orang Filistin itu, sehingga TUHAN mengurniakan kemenangan yang besar bagi seluruh Israel. Engkau sendiri telah menyaksikannya dan bersukacita kerananya. Mengapakah kini engkau hendak berbuat dosa terhadap orang yang tidak bersalah seperti Daud dengan membunuhnya tanpa sebab?” Saul mendengar kata-kata Yonatan, dan dia pun bersumpah, “Demi TUHAN yang hidup, dia tidak akan dibunuh.”