1 SAMUEL 17:4-7,45-50
1 SAMUEL 17:4-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Seorang lelaki yang bernama Goliat, dari kota Gat, keluar dari perkhemahan Filistin untuk mencabar orang Israel. Tinggi orang itu kira-kira tiga meter. Dia memakai baju gangsa seberat kira-kira 57 kilogram, dan topi gangsa. Kakinya dilindungi oleh penutup daripada gangsa dan di bahunya dia menyangkutkan sebatang lembing gangsa. Gagang tombaknya sebesar kayu pada alat tenun dan mata tombaknya seberat kira-kira tujuh kilogram. Seorang askar pembawa perisai berjalan di hadapannya.
1 SAMUEL 17:45-50 Alkitab Berita Baik (BM)
Daud berkata, “Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, yang engkau hina itu. Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan mengalahkan engkau dan memenggal kepalamu. Aku akan memberikan tubuh tentera Filistin kepada burung dan binatang supaya dimakan. Dengan demikian seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah. Semua orang di sini akan melihat bahawa TUHAN tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya. Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.” Goliat mula maju mendekati Daud, lalu Daud berlari dengan cepat ke arah barisan orang Filistin untuk melawan dia. Daud memasukkan tangan ke dalam kantongnya, lalu mengambil sebiji batu dan mengumban batu itu dengan ali-ali ke arah Goliat. Batu itu kena pada dahi Goliat sehingga pecah tengkoraknya. Ketika itu juga Goliat rebah dengan mukanya ke tanah. Demikianlah tanpa pedang, Daud mengalahkan Goliat dan membunuhnya dengan ali-ali dan batu.
1 SAMUEL 17:4-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian tampillah seorang kesateria dari perkhemahan orang Filistin. Namanya Goliat dari Gat. Tingginya enam hasta lebih sejengkal. Dia memakai ketopong gangsa di kepalanya serta baju zirah yang bersisik seberat lima ribu syikal gangsa. Pelindung kakinya juga daripada gangsa, dan sebuah lembing gangsa tersandang di antara bahunya. Batang tombaknya seperti kayu penggulung tukang tenun, berat mata tombaknya enam ratus syikal besi. Seorang pembawa perisai berjalan di depannya.
1 Samuel 17:45-50 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata Daud kepada orang Filistin itu, “Engkau datang kepadaku dengan pedang, tombak, dan lembing, tetapi aku datang kepadamu dengan nama TUHAN alam semesta, iaitu Allah barisan perang orang Israel yang kaucemuh itu. Pada hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan menumpaskanmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini juga akan kuberikan bangkai pasukan Filistin kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di bumi. Dengan demikian seluruh bumi akan tahu bahawa ada Allah di Israel, dan seluruh jemaah ini akan tahu bahawa TUHAN tidak menyelamatkan dengan pedang dan tombak, kerana peperangan ini sememangnya milik TUHAN dan Dia akan menyerahkan kamu ke dalam tangan kami.” Pada waktu orang Filistin itu maju mendekat untuk menghadapi Daud, berlarilah Daud dengan cepat ke arah barisan perang musuh untuk menghadapi orang Filistin itu. Daud menyusupkan tangan ke dalam kantungnya dan mengambil sebutir anak batu dari dalamnya lalu melontarkannya dengan tarbilnya. Batu itu tepat mengenai dahi orang Filistin itu dan terbenam di dalam dahinya, sehingga orang itu jatuh menyembam tanah. Demikianlah Daud menyerang orang Filistin itu dengan tarbil dan batu. Dihentam dan dibunuhnya orang Filistin itu tanpa sebilah pedang di tangannya.