1 PETRUS 3:13-18
1 PETRUS 3:13-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Siapakah akan menyusahkan kamu jika kamu ingin sekali berbuat baik? Tetapi meskipun kamu harus menanggung penderitaan kerana melakukan perkara yang baik, kamu berbahagia! Janganlah takut akan sesiapa pun dan janganlah khuatir. Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat. Hendaklah hati nurani kamu murni, supaya apabila kamu difitnah kerana hidup dengan baik sebagai pengikut Kristus, orang yang memfitnah kamu itu akan menjadi malu. Lebih baik menanggung penderitaan kerana berbuat baik, jika hal itu memang kehendak Allah, daripada menanggung penderitaan kerana berbuat jahat. Hal itu demikian kerana Kristus sendiri mati sekali sahaja dan untuk selama-lamanya, supaya dosa kita diampunkan. Dia tidak bersalah tetapi mati untuk orang yang bersalah, supaya Dia boleh memimpin kamu kepada Allah. Dia dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani.
1 PETRUS 3:13-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Siapakah yang dapat mŭmbinchanakan kamu, jikalau kamu mŭnurot pŭrkara yang baik? Tŭtapi jikalau kamu mŭrasai sŭngsara sŭbab kabŭnaran, slamatlah kamu: maka janganlah takot ugotnya, atau janganlah bŭrsusah; Tŭtapi suchikanlah Tuhan Allah dalam hatimu, dan sŭdialah slalu akan mŭmbri jawab pada sagala orang yang bŭrtanya pada kamu satu sŭbab derihal harap yang ada dalammu itu dŭngan lŭmah lŭmbut dan takot. Sŭbab adalah angan angan yang baik padamu; maka apabila diumpat ulih marika itu akan dikau spŭrti orang orang yang bŭrbuat jahat, bulihlah marika itu mŭnjadi malu sŭbab mŭnchŭlakan klakuanmu yang baik itu dalam Almasih. Kŭrna tŭrlebih baik jikalau dŭngan kahandak Allah dŭmkian kamu mŭrasai sŭngsara, deri kŭrna bŭrbuat baik deripada bŭrbuat jahat. Kŭrna Almasih pun skali tŭlah mŭrasai sŭngsara sŭbab dosa, iya itu sa’orang bŭnar ganti orang yang tiada bŭnar, supaya iya kŭlak mŭmbawa kami kapada Allah, sŭbab iya tŭlah dibunoh dalam pri manusia, tŭtapi sudah dihidopkan ulih Roh.
1 PETRUS 3:13-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Siapakah yang akan menyakitimu jika kamu berbuat kebaikan dengan penuh semangat? Namun demikian, kalaupun kamu menderita kerana melakukan yang benar, kamu akan diberkati. “Jangan takut akan ugutan mereka dan janganlah bimbang.” Hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat, serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu dalam Kristus akan berasa malu. Jika dikehendaki Allah kamu menderita kerana melakukan kebaikan, itu lebih baik daripada menderita kerana melakukan kejahatan. Kristus juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang benar telah menderita untuk orang yang tidak benar supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh.