1 KORINTUS 12:12-21
1 KORINTUS 12:12-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Kristus bagaikan tubuh manusia, yang mempunyai banyak anggota. Tubuh itu satu tetapi terdiri daripada banyak anggota. Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita. Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya. Kaki masih sebahagian daripada tubuh, walaupun kaki mungkin berkata, “Kerana aku bukan tangan, aku bukan bahagian daripada tubuh.” Telinga masih sebahagian daripada tubuh, walaupun telinga mungkin berkata, “Kerana aku bukan mata, aku bukan bahagian daripada tubuh.” Bagaimanakah tubuh boleh mendengar, jika seandainya seluruh tubuh itu mata sahaja? Bagaimanakah tubuh boleh menghidu, jika seandainya seluruh tubuh itu telinga sahaja? Tetapi seperti yang kita ketahui, Allah meletakkan tiap-tiap anggota tubuh yang berlainan itu di tempat yang dikehendaki-Nya. Tidak mungkin ada tubuh, jika semuanya hanya satu anggota. Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh. Dengan demikian mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukan kamu!” Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukan kamu!”
1 KORINTUS 12:12-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna spŭrti tuboh itu suatu, dan anggotanya ada banyak, maka skalian anggota tuboh yang suatu itu sungguh pun banyak adanya, suatu juga tubohnya; maka dŭmkianlah juga Almasih. Kŭrna kami skalian sudah dibaptisakan ulih suatu Roh juga dijadikannya suatu tuboh; baik orang Yahudi, baik orang Grika, baik abdi, baik mŭrdehka, dan skalian sudah dibri minum suatu roh juga. Kŭrna tuboh itu bukannya satu anggota sahja, mŭlainkan banyak. Maka jikalau kiranya kaki itu bŭrkata, Bahwa sŭbab aku ini bukannya tangan, bukannyalah aku deripada tuboh: maka deri sŭbab itukah iya bukannya deripada tuboh? Dan jikalau kiranya tŭlinga bŭrkata, Sŭbab aku ini bukannya mata, bukannyalah aku deripada tuboh: maka deri sŭbab itukah iya bukannya deripada tuboh? Maka jikalau kiranya sŭgŭnap tuboh itu mŭnjadi mata, mana pula pŭnŭngar? Dan jikalau sŭgŭnap tuboh itu pŭnŭngar, mana pula pŭnchium? Tŭtapi skarang Allah tŭlah mŭlŭtakkan sagala anggota itu masing masing dalam tuboh spŭrti yang dikahandakinya. Maka jikalau kiranya sŭmua itu mŭnjadi suatu anggota, mana pula tuboh? Adapun skarang ini adalah anggota itu banyak, tŭtapi tuboh itu suatu juga adanya. Maka mata itu tiada bulih bŭrkata kapada tangan, Bahwa tiada aku bŭrhajat akan dikau; atau kata kŭpala kapada kaki, Bahwa tiada aku bŭrhajat akan dikau.
1 KORINTUS 12:12-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus. Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh — baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka — dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama. Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota. Kalaulah kaki berkata, “Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh? Dan kalaulah telinga berkata, “Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh? Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan? Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya. Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh? Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh. Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukanmu,” kepala tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukanmu.”