1 TAWARIKH 16:1-11

1 TAWARIKH 16:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Mereka meletakkan Tabut Perjanjian itu di dalam khemah yang telah disediakan oleh Raja Daud. Kemudian mereka mempersembahkan korban-korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban untuk memohon berkat-Nya. Setelah Raja Daud selesai mempersembahkan korban-korban itu, baginda memberkati umat Israel dengan nama TUHAN, lalu membahagi-bahagikan makanan kepada mereka semua. Setiap orang yang ada di situ, baik lelaki mahupun perempuan diberi sebuku roti, sepotong daging panggang, dan seketul kuih kismis. Raja Daud melantik beberapa orang Lewi untuk memimpin upacara ibadat kepada TUHAN, Allah Israel, di hadapan Tabut Perjanjian. Mereka menyanyikan lagu kesyukuran dan puji-pujian kepada TUHAN. Asaf dilantik sebagai ketua dan Zakharia wakilnya. Yeiel, Semiramot, Yehiel, Matica, Eliab, Benaya, Obed-Edom, dan Yeiel ditugaskan untuk memainkan kecapi. Asaf ditugaskan untuk memainkan simbal, dan dua orang imam, iaitu Benaya dan Yahaziel, ditugaskan secara tetap untuk meniup trompet di hadapan Tabut Perjanjian. Itulah kali pertama Raja Daud menugaskan Asaf dan rakan-rakannya sesama orang Lewi untuk menyanyikan lagu puji-pujian kepada TUHAN. Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya. Ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. Nyanyikanlah lagu pujian kepada TUHAN, ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan. Dialah TUHAN Yang Esa; bersukacitalah kerana kita milik-Nya; semua orang yang menyembah TUHAN hendaklah bersukacita! Mintalah pertolongan TUHAN; sembahlah Dia sentiasa.

1 TAWARIKH 16:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tabut perjanjian Allah dibawa masuk dan diletakkan di tengah-tengah khemah yang dibentangkan Daud untuknya. Lalu mereka mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian di hadapan Allah. Setelah Daud selesai mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian, dia memohonkan berkat bagi bangsa itu dengan nama TUHAN. Diagih-agihkannya kepada semua orang Israel, baik laki-laki mahupun perempuan, masing-masing sebuku roti, sepotong daging, dan seketul kuih kismis. Kemudian Daud mengangkat beberapa orang Lewi sebagai penyelenggara ibadat di hadapan tabut TUHAN. Mereka harus berzikir, mengucap syukur, dan memuji TUHAN, Allah Israel. Asaf ialah ketuanya, Zakharia orang keduanya, selanjutnya Yeiel, Semiramot, Yehiel, Matica, Eliab, Benaya, Obed-Edom, dan Yeiel. Mereka harus memainkan gambus serta kecapi, sementara Asaf harus membunyikan ceracap. Benaya dan Yahaziel, iaitu para imam, harus selalu meniup nafiri di hadapan tabut perjanjian Allah. Maka pada hari itu juga, untuk pertama kalinya Daud melantik Asaf dan saudara-saudaranya untuk menyanyikan ucapan syukur kepada TUHAN: Ucaplah syukur kepada TUHAN, serulah nama-Nya, masyhurkanlah perbuatan-Nya di antara bangsa-bangsa! Bernyanyilah bagi-Nya, lantunkanlah puji-pujian bagi-Nya, ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang ajaib! Bermegahlah dalam nama-Nya yang suci, biarlah kalangan yang mencari hadirat TUHAN bersuka hati. Carilah hadirat TUHAN dan kekuatan-Nya, carilah hadirat-Nya selalu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami