ZAKHARIA 11

11
Kejatuhan Para Penguasa yang Kejam
1Hai Lebanon, bukalah pintu-pintumu,
supaya api dapat membakar pokok sedarmu.
2Hai pokok sipres, menangislah dan merataplah,
kerana pokok sedar sudah jatuh;
pokok-pokok yang megah sudah musnah.
Hai pokok-pokok oak di Basan, menangislah dan merataplah,
kerana hutan tebal sudah ditebang.
3Penguasa-penguasa meratap,
kerana kemuliaan mereka sudah lenyap.
Dengarlah auman singa;
kerana kediaman singa di hutan di sepanjang Sungai Yordan sudah musnah.
Dua Orang Gembala
4TUHAN, Allahku berfirman kepadaku, “Berlakonlah sebagai gembala yang menggembalakan domba yang akan disembelih. 5Pemilik-pemilik domba menyembelih kawanan domba itu tetapi mereka tidak dihukum; mereka menjual daging domba itu lalu berkata, ‘Terpujilah TUHAN! Kami kaya!’ Gembala-gembala itu tidak mengasihani domba peliharaan mereka.”
6TUHAN berfirman, “Aku tidak lagi mengasihani sesiapa pun di bumi ini. Aku sendiri akan menyerahkan semua orang ke dalam tangan penguasa mereka. Penguasa-penguasa itu akan memusnahkan bumi, dan Aku tidak akan menyelamatkannya daripada kuasa mereka.”
7Pedagang domba mengupah aku, lalu aku menjadi gembala kawanan domba yang akan disembelih. Aku mengambil dua batang tongkat: yang satu aku namakan “Kemurahan,” dan yang satu lagi “Perpaduan.” Kemudian aku mula menggembalakan domba-domba itu. 8Aku hilang kesabaran terhadap tiga orang gembala lain yang membenci aku. Oleh itu aku mengusir mereka dalam masa satu bulan. 9Kemudian aku berkata kepada kawanan domba itu, “Aku tidak mahu menggembalakan kamu lagi. Yang akan mati, biarlah mati. Yang akan binasa, biarlah binasa. Yang masih hidup akan saling membinasakan.” 10Selepas itu aku mengambil kayu yang dinamakan “Kemurahan” lalu mematahkannya, sebagai lambang bahawa perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan semua bangsa telah dibatalkan. 11Demikianlah perjanjian itu dibatalkan pada hari itu. Para pedagang domba memandang aku, dan mereka tahu bahawa TUHAN sedang berfirman melalui perbuatanku itu. 12 Aku berkata kepada mereka, “Jika kamu rela, bayarlah upahku. Jika tidak, tidak usah.” Mereka membayar upahku sebanyak tiga puluh keping wang perak.
13 TUHAN berfirman kepadaku, “Masukkan wang itu ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN.” Oleh itu aku mengambil tiga puluh keping wang perak itu. Hanya sekian penghargaan mereka kepadaku. Aku pun memasukkan wang itu ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN. 14Selepas itu aku mematahkan kayu kedua, yang dinamakan “Perpaduan”, maka putuslah perhubungan antara Yehuda dan Israel.
15Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Sekali lagi berlakonlah sebagai gembala domba; kali ini sebagai gembala yang tidak berguna. 16Aku menugaskan seorang gembala untuk menggembalakan domba-Ku, tetapi dia tidak menolong domba yang diancam kebinasaan. Dia tidak mencari domba yang sesat, atau mengubati yang luka, ataupun memberikan makanan kepada domba yang sihat. Sebaliknya dia makan daging domba yang paling gemuk, dan mencabut kuku domba. 17Terkutuklah gembala yang tidak berguna itu! Dia meninggalkan kawanan dombanya. Peperangan akan mengakhiri kekuasaannya. Lengannya akan menjadi lemah dan mata kanannya menjadi buta.”

Terpilih Sekarang Ini:

ZAKHARIA 11: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami