MATIUS 25:14-30

MATIUS 25:14-30 BM

“Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Seorang lelaki hendak berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya lalu mempercayakan hartanya kepada mereka. Setiap orang hamba diberikannya bahagian menurut kebolehan masing-masing. Yang seorang diberikannya lima ribu keping wang emas, yang lain diberikannya dua ribu keping, dan yang seorang lagi diberikannya seribu keping. Lalu orang itu pun berangkat. Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas segera pergi berniaga, lalu mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping wang emas. Hamba yang menerima dua ribu keping wang emas, juga mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping wang emas. Tetapi hamba yang menerima seribu keping wang emas pergi menggali lubang di tanah, lalu menyembunyikan wang tuannya. Lama kemudian, tuan hamba-hamba itu pulang lalu menyuruh mereka memberikan laporan tentang apa yang dilakukan dengan wangnya. Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas datang dan menyerahkan sepuluh ribu keping wang emas. Dia berkata, ‘Tuan menyerahkan lima ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping lagi.’ ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’ Lalu hamba yang menerima dua ribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan menyerahkan dua ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping lagi.’ ‘Bagus,’ kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’ Kemudian hamba yang menerima seribu keping wang emas datang dan berkata, ‘Tuan, hamba tahu bahawa tuan seorang yang keras. Tuan menuai tuaian di tempat yang tidak tuan tanami, dan tuan memungut hasil di tempat yang tidak tuan taburi dengan benih. Hamba takut, maka hamba pergi menyembunyikan wang tuan di dalam tanah. Inilah milik tuan.’ ‘Kamu hamba yang jahat dan malas!’ kata tuan itu. ‘Tidakkah kamu tahu, bahawa aku menuai tuaian di tempat yang tidak aku tanami, dan memungut hasil di tempat yang tidak aku taburi dengan benih? Jika demikian, seharusnya kamu simpan wangku di bank, supaya apabila aku balik, aku dapat menerima wangku kembali dengan faedahnya.’ Kemudian tuan itu berkata kepada hamba yang lain, ‘Ambil wang itu daripadanya, dan berikan kepada orang yang mempunyai sepuluh ribu keping wang emas. Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Tentang hamba yang tidak berguna ini, buanglah dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana dia akan menangis dan menderita!’ ”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami