LUKAS 6:20-38

LUKAS 6:20-38 BM

Yesus memandang semua pengikut-Nya lalu berkata, “Berbahagialah kamu yang miskin; kerana kamu menikmati Pemerintahan Allah! Berbahagialah kamu yang lapar sekarang; kamu akan dikenyangkan! Berbahagialah kamu yang menangis sekarang; kamu akan tertawa! Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia! Demikian jugalah nenek moyang mereka memperlakukan nabi-nabi. Bersukacitalah apabila hal itu berlaku, dan menarilah dengan gembira, kerana pahala yang besar tersedia untuk kamu di syurga. Tetapi malanglah kamu yang kaya sekarang ini, kerana kamu telah mengalami kenikmatan hidup! Malanglah kamu yang kenyang sekarang ini, kerana kamu akan kelaparan! Malanglah kamu yang tertawa sekarang ini, kerana kamu akan berdukacita dan menangis! Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana demikian juga nenek moyang mereka memuji nabi-nabi palsu.” “Tetapi Aku berkata kepada kamu yang mendengarkan Aku: Kasihilah musuh kamu dan berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu. Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu. Jika seseorang menampar pipi kamu yang sebelah, biarkan dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang merampas jubah kamu, berikanlah baju kamu juga. Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikan apa yang dimintanya; jika seseorang merampas milik kamu, janganlah minta kembali barang itu. Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu menerima pujian? Tentu tidak! Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka! Jika kamu berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada kamu, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun berbuat demikian! Jika kamu memberikan pinjaman kepada orang yang dapat mengembalikannya, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun memberikan pinjaman kepada orang berdosa, lalu memintanya kembali! Bukan demikian! Hendaklah kamu mengasihi musuh kamu dan berbuat baik kepada mereka. Berikan pinjaman dan jangan harap pinjaman itu dikembalikan. Lalu kamu akan mendapat pahala besar dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi. Allah baik kepada orang yang tidak tahu berterima kasih dan orang jahat. Hendaklah kamu berbelas kasihan seperti Bapa kamu berbelas kasihan juga!” “Janganlah hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. Janganlah hukum orang lain, supaya Allah tidak menghukum kamu juga. Ampunilah orang lain, supaya Allah mengampuni kamu juga. Apa yang kamu berikan kepada orang lain, Allah juga akan memberikannya kepada kamu. Allah akan mencurahi kamu pemberian yang berlimpah-limpah. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 6:20-38

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami