LUKAS 2:8-20

LUKAS 2:8-20 BM

Pada malam itu, beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang. Tiba-tiba malaikat Tuhan menampakkan diri kepada mereka dan cahaya kemuliaan Tuhan menerangi mereka sehingga mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung.” Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” Setelah para malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu bercakap sesama mereka, “Marilah kita pergi ke Betlehem dan melihat perkara yang berlaku itu, yang sudah diberitahukan oleh Tuhan kepada kita.” Mereka segera pergi, lalu menjumpai Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. Apabila para gembala melihat bayi itu, mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu. Tetapi Maria menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya. Semua gembala itu kembali ke padang sambil memuji-muji Allah bagi segala yang sudah didengar dan dilihat oleh mereka, kerana semuanya tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami