LUKAS 2:21-40

LUKAS 2:21-40 BM

Sesudah berumur lapan hari, tibalah masanya anak itu disunat. Dia dinamakan Yesus, nama yang diberikan oleh malaikat kepada-Nya sebelum Dia dikandung oleh ibu-Nya. Tibalah masanya Yusuf dan Maria menjalankan upacara penyucian menurut Taurat Musa. Oleh itu, mereka membawa anak itu ke Yerusalem untuk diserahkan kepada Tuhan. Di dalam hukum Tuhan tertulis, “Tiap-tiap anak lelaki sulung harus diserahkan kepada Tuhan.” Mereka juga mempersembahkan korban menurut hukum Tuhan, iaitu sepasang burung dara atau dua ekor burung merpati muda. Pada masa itu di Yerusalem ada seorang lelaki bernama Simeon. Dia seorang yang baik dan takut akan Allah. Dia menantikan masanya Allah menyelamatkan Israel. Roh Allah menyertai Simeon dan memberitahu dia bahawa dia tidak akan meninggal sebelum melihat Penyelamat yang dijanjikan oleh Tuhan. Dengan pimpinan Roh Allah Simeon masuk ke Rumah Tuhan. Pada waktu itu Yusuf dan Maria membawa Yesus yang masih kecil itu ke Rumah Tuhan untuk melakukan apa yang diperintahkan Taurat bagi-Nya. Simeon mengambil anak itu lalu mendukung-Nya sambil memuji Allah, “Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa; bagaikan cahaya yang menunjukkan kehendak-Mu bagi bangsa-bangsa lain dan cahaya yang mendatangkan kemuliaan bagi umat-Mu Israel.” Ibu bapa anak itu hairan mendengar apa yang dikatakan oleh Simeon tentang anak itu. Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini sudah dipilih oleh Allah untuk membinasakan dan menyelamatkan banyak orang Israel. Dia akan menjadi tanda daripada Allah, yang akan dilawan oleh banyak orang, dan dengan demikian terdedahlah rahsia fikiran mereka. Seperti pedang yang tajam, kesedihan akan menikam hatimu.” Ada pula seorang nabi wanita bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia balu dan umurnya sudah lanjut. Dia berkahwin selama tujuh tahun, dan sekarang umurnya lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan. Siang malam dia beribadat kepada Allah dengan berdoa dan berpuasa. Tepat pada waktu itu dia datang, lalu bersyukur kepada Allah. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Allah membebaskan Yerusalem. Setelah Yusuf dan Maria melakukan segala yang diwajibkan oleh hukum Tuhan, mereka kembali ke kampung mereka di Nasaret, di daerah Galilea. Demikianlah anak itu bertambah besar dan kuat. Dia sangat bijaksana dan Allah berkenan kepada-Nya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami