LUKAS 19:11-27

LUKAS 19:11-27 BM

Sementara orang masih mendengar Yesus berkata-kata, Yesus menceritakan perumpamaan berikut. Pada waktu itu Dia hampir tiba di Yerusalem dan orang ramai menyangka bahawa Allah segera akan memerintah di bumi. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Seorang bangsawan pergi ke negeri yang jauh untuk dilantik menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali. Tetapi sebelum dia berangkat, dia memanggil sepuluh orang hambanya lalu memberikan sekeping wang emas kepada setiap orang. Dia berkata, ‘Berniagalah dengan wang ini semasa aku pergi.’ Tetapi penduduk negerinya membenci dia. Setelah dia berangkat, mereka mengirim utusan untuk mengatakan, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’ Orang bangsawan itu dilantik menjadi raja, lalu pulang ke negerinya. Dengan segera dia menyuruh semua hambanya yang sudah menerima wang emas supaya datang menghadap. Raja hendak mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka. Hamba pertama datang dan berkata, ‘Tuanku, patik berhasil mendapat sepuluh keping wang emas dengan sekeping wang yang tuanku berikan itu.’ ‘Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu dapat dipercayai dalam perkara yang kecil, beta akan menjadikan kamu penguasa sepuluh buah kota.’ Hamba kedua datang dan berkata, ‘Tuanku, dengan sekeping wang emas yang tuanku berikan, patik berhasil mendapat lima keping wang emas.’ Kepada hamba itu raja berkata, ‘Beta akan menjadikan kamu penguasa lima buah kota.’ Hamba yang lain datang dan berkata, ‘Tuanku, inilah wang emas tuanku. Patik telah menyimpannya di dalam sapu tangan. Patik takut akan tuanku, kerana patik tahu bahawa tuanku seorang yang keras. Tuanku mengambil apa yang bukan milik tuanku, dan tuanku menuai di tempat yang tidak tuanku semai.’ Raja itu berkata kepadanya, ‘Hai hamba yang jahat! Beta akan menghukum kamu menurut kata-katamu sendiri. Kamu tahu bahawa beta seorang yang keras; beta mengambil apa yang bukan milik beta, dan menuai di tempat yang tidak beta semai. Oleh itu kamu seharusnya menyimpan wang beta di bank supaya apabila beta kembali beta dapat menerima wang beta dengan faedahnya.’ Kemudian raja itu bertitah kepada mereka yang berdiri di situ, ‘Ambillah wang emas itu daripadanya dan berikan kepada hamba yang mempunyai sepuluh keping.’ Mereka berkata kepada raja itu, ‘Tuanku, dia mempunyai sepuluh keping!’ Raja itu menjawab, ‘Ketahuilah, orang yang sudah mempunyai sesuatu, kepadanya akan diberikan lebih banyak lagi. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Sekarang bawa ke mari musuh beta yang tidak mahu beta menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka semua di hadapan beta!’ ”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami