LUKAS 10:1-24

LUKAS 10:1-24 BM

Kemudian Yesus memilih tujuh puluh dua orang pengikut pula. Dia mengutus mereka berdua-dua, dan pergi mendahului Dia ke tiap-tiap kota dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. Yesus berkata kepada mereka, “Tuaian sungguh banyak, tetapi yang menuai hanya sedikit. Berdoalah kepada Pemilik tuaian supaya Dia menghantar orang untuk menuai tuaian-Nya. Pergilah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Jangan bawa dompet, atau beg sedekah, ataupun kasut. Jangan berhenti di tengah jalan untuk memberikan salam kepada sesiapa pun. Apabila kamu masuk ke dalam sebuah rumah, lebih dahulu katakanlah, ‘Semoga sejahteralah rumah ini.’ Jika orang yang tinggal di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera kamu itu tetap padanya. Jika tidak, batallah salam sejahtera itu. Tinggallah di rumah itu dan makan minum apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak menerima upah. Jangan pindah dari satu rumah ke rumah yang lain. Apabila kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu kamu disambut, makanlah apa yang dihidangkan. Sembuhkanlah orang sakit di kota itu, dan kepada penduduk di situ katakanlah, ‘Tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu.’ Tetapi jika kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu di situ kamu tidak disambut, pergilah ke jalan raya dan berkata, ‘Bahkan debu kota kamu yang melekat pada kaki, kami kebaskan sebagai amaran kepada kamu. Tetapi ketahuilah bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu!’ Ingatlah bahawa pada Hari Pengadilan kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Sodom daripada penduduk kota itu!” “Malanglah kamu, hai penduduk kota Korazin! Malanglah kamu, hai penduduk kota Betsaida! Jika semua mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu telah dilakukan di Tirus dan Sidon, pasti penduduk di sana sudah lama mengenakan kain guni dan menaruh abu di atas kepala untuk membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat daripada dosa! Pada Hari Pengadilan kelak Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Tirus dan Sidon daripada kamu! Dan kamu, hai penduduk kota Kapernaum! Kamu fikir kamu akan ditinggikan sampai ke syurga? Tidak! Kamu akan dibuang ke neraka!” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Orang yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata-Ku juga. Tetapi orang yang menolak kamu, menolak Aku juga. Orang yang menolak Aku, juga menolak Dia yang mengutus Aku.” Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan kegembiraan yang besar. “Tuhan,” kata mereka, “roh-roh jahat pun taat kepada kami apabila kami memberikan perintah dengan nama Tuhan!” Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat. Dengarlah! Aku sudah memberikan kuasa kepada kamu supaya dapat memijak ular dan kala jengking serta mengalahkan segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa pun dapat mencederakan kamu. Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.” Pada waktu itu Yesus bersukacita kerana dipenuhi oleh Roh Allah, lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana kepada orang yang tidak terpelajar Engkau telah menunjukkan apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, perkara itulah yang menyenangkan hati Bapa. Bapa-Ku sudah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.” Lalu Yesus berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, “Alangkah berbahagianya kamu kerana dapat melihat apa yang kamu lihat sekarang ini! Ketahuilah bahawa banyak nabi dan raja mahu melihat apa yang kamu lihat sekarang ini tetapi tidak dapat, dan mahu mendengar apa yang kamu dengar sekarang ini tetapi juga tidak dapat.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami