IMAMAT 19:1-18

IMAMAT 19:1-18 BM

TUHAN menyuruh Musa memberitahu umat Israel, “Kamu harus suci kerana Aku TUHAN, Allah kamu suci. Tiap-tiap orang harus menghormati ibu dan bapanya, serta merayakan hari Sabat sebagaimana yang sudah Aku perintahkan. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan sembah berhala. Jangan buat patung berhala daripada logam dan jangan sembahnya. Akulah TUHAN, Allah kamu. Apabila kamu menyembelih binatang bagi korban untuk memohon berkat TUHAN, patuhilah peraturan yang sudah Aku berikan kepada kamu, supaya Aku menerima persembahan kamu. Dagingnya harus dimakan pada hari binatang itu disembelih atau pada hari esoknya. Daging yang tertinggal pada hari ketiga mesti dibakar, kerana daging itu haram. Jika sesiapa memakannya, persembahan itu tidak Aku terima. Sesiapa yang memakannya bersalah, kerana dia memperlakukan apa yang sudah dipersembahkan kepada-Ku itu sebagai makanan biasa; orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku. Apabila kamu menuai hasil tanaman, jangan tuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang. Jangan kembali ke ladang untuk menuai hasil tanaman yang tertinggal setelah dituai. Jangan kumpulkan buah anggur yang tertinggal selepas kamu memetiknya pada kali pertama; jangan pungut buah anggur yang sudah jatuh. Tinggalkanlah semua itu untuk orang miskin dan orang asing. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan curi apa pun; jangan tipu sesiapa pun; jangan berdusta. Jangan berjanji demi nama-Ku jika kamu tidak bermaksud menepati janji itu. Perbuatan demikian menghina nama-Ku. Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan perdayakan orang, dan jangan rompak sesiapa pun. Jangan tahan upah orang yang sudah bekerja untukmu, jangan tahan upahnya walaupun untuk satu malam. Jangan kutuk orang tuli, dan jangan letakkan batu sandungan di hadapan orang buta sehingga dia jatuh. Kamu harus takut akan Aku; Akulah TUHAN, Allah kamu. Jangan berlaku curang apabila kamu mengadili perkara orang. Jangan berlaku berat sebelah, sama ada terhadap orang yang miskin ataupun yang kaya. Jangan sebarkan fitnah tentang orang lain. Apabila seseorang diadili, jangan berikan kesaksian palsu yang menyebabkan orang itu dihukum mati. Akulah TUHAN. Jangan berdendam terhadap sesiapa pun. Selesaikanlah perselisihan kamu dengan dia, supaya kamu tidak berdosa kerana orang itu. Jangan balas dendam terhadap sesiapa pun, atau terus-menerus membenci orang. Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri. Akulah TUHAN.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami