YOHANES 5:1-18

YOHANES 5:1-18 BM

Selepas itu ada satu perayaan Yahudi dan Yesus pergi ke Yerusalem. Di Yerusalem dekat Pintu Domba ada sebuah kolam yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Betesda. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. Banyak orang sakit berbaring di serambi-serambi itu - yang buta, yang tempang, dan yang lumpuh. [Mereka semua menunggu air di kolam itu berkocak, kerana ada kalanya malaikat Tuhan turun ke dalam kolam itu dan mengocakkan airnya, lalu orang sakit yang pertama masuk ke dalam kolam itu semasa air berkocak akan sembuh daripada penyakit apa pun yang dihidapnya.] Di situ terdapat seorang lelaki yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus nampak dia terbaring di situ, dan Dia tahu bahawa orang itu sudah lama sekali sakit. Oleh itu Yesus bertanya kepadanya, “Mahukah kamu sembuh?” Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak. Sementara saya mencuba masuk ke dalam kolam, orang lain telah mendahului saya.” Yesus berkata kepadanya, “Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah.” Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan. Hal ini berlaku pada hari Sabat. Oleh itu para penguasa Yahudi berkata kepada orang yang baru disembuhkan itu, “Hari ini hari Sabat; kamu melanggar Taurat kita kerana mengangkat tikar.” Tetapi orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkan saya tadi menyuruh saya mengangkat tikar dan berjalan.” Mereka bertanya, “Siapakah orang yang menyuruh kamu mengangkat tikar dan berjalan?” Orang yang baru disembuhkan itu tidak tahu siapa orang itu, kerana Yesus sudah menghilang antara orang ramai di tempat itu. Tidak lama kemudian, Yesus berjumpa dengan dia di dalam Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi, supaya kamu tidak ditimpa perkara yang lebih dahsyat.” Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia. Oleh itu, mereka mula memusuhi Yesus, kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.” Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan YOHANES 5:1-18

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami