YOHANES 3:22-36

YOHANES 3:22-36 BM

Setelah itu Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke wilayah Yudea. Dia tinggal di situ dengan mereka untuk sementara waktu, dan Dia membaptis orang. Pada masa itu Yohanes belum dipenjarakan. Di Ainon, tempat yang tidak berapa jauh dari Salim, Yohanes membaptis orang kerana di situ terdapat banyak air. Orang datang kepadanya dan dia membaptis mereka. Beberapa orang pengikut Yohanes mula bertengkar dengan seorang Yahudi tentang adat pembasuhan. Kemudian mereka pergi kepada Yohanes dan berkata, “Adakah guru masih ingat akan orang yang bersama-sama guru di seberang Sungai Yordan itu, orang yang guru tunjukkan kepada kami dahulu? Lihatlah, sekarang dia membaptis orang dan semua orang pergi kepadanya!” Yohanes menjawab, “Seseorang tidak dapat menerima sesuatu, jika Allah tidak memberikannya. Kamu sendiri menjadi saksiku bahawa aku pernah berkata, ‘Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, tetapi aku diutus terlebih dahulu daripada-Nya.’ Pengantin perempuan kepunyaan pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki hanya menunggu dan mendengar, serta bersukacita apabila dia mendengar suara pengantin lelaki. Begitulah halnya dengan aku. Sekarang kegembiraanku sempurna. Dia mesti menjadi semakin penting dan aku semakin kurang penting.” Dia yang datang dari syurga paling utama daripada semua orang. Orang yang datang dari dunia tergolong orang dunia, dan dia bercakap tentang perkara-perkara dunia ini. Tetapi Dia yang datang dari syurga, Dialah yang paling utama! Dia memberitahukan apa yang dilihat-Nya dan didengar-Nya, tetapi tidak seorang pun menerima kesaksian-Nya. Tetapi orang yang menerima kesaksian-Nya mengakui bahawa apa yang difirmankan oleh Allah benar. Orang yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniakan Roh-Nya kepada Dia dengan sepenuhnya. Bapa mengasihi Anak-Nya dan sudah menyerahkan segala sesuatu di bawah kuasa-Nya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal, tetapi sesiapa yang tidak taat kepada Anak itu tidak akan beroleh hidup itu. Dia akan dihukum oleh Allah selama-lamanya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami