YEREMIA 31:1-14

YEREMIA 31:1-14 BM

TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku menjadi Allah kepada semua suku Israel, dan mereka akan menjadi umat-Ku. Dahulu di gurun Aku menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang terlepas daripada maut. Ketika umat Israel mencari ketenangan, dari jauh Aku menampakkan diri kepada mereka. Hai umat Israel, sejak dahulu Aku selalu mengasihi kamu, dan untuk seterusnya Aku akan menunjukkan bahawa Aku selalu mengasihi kamu. Aku akan mengukuhkan kedudukan kamu semula. Sekali lagi kamu akan mengambil tamburin dan menari dengan gembira. Kamu akan membuka ladang anggur di perbukitan Samaria, dan orang yang menanam anggur akan menikmati hasilnya. Sesungguhnya, akan tiba masanya apabila para pengawal kota berseru di perbukitan Efraim, ‘Mari kita naik ke Sion, kepada TUHAN, Allah kita.’ ” TUHAN berfirman, “Bernyanyilah dengan gembira bagi Israel, bangsa yang terutama antara semua bangsa. Nyanyikanlah lagu pujian, ‘TUHAN telah menyelamatkan umat-Nya; Dia telah menyelamatkan semua orang yang masih tinggal.’ Dari utara Aku membawa mereka kembali, Aku mengumpulkan mereka dari hujung bumi. Orang buta dan orang lumpuh akan mengikut mereka, begitu juga wanita hamil dan mereka yang hampir bersalin. Mereka akan kembali sebagai bangsa yang besar. Sambil menangis umat-Ku akan kembali, mereka berdoa semasa Aku memimpin mereka pulang. Aku memimpin mereka ke anak-anak sungai, melalui jalan rata supaya mereka tidak tersandung. Aku seperti seorang bapa kepada Israel, Efraim ialah anak-Ku yang sulung.” TUHAN berfirman, “Dengarlah hai bangsa-bangsa! Isytiharkanlah perkhabaran-Ku ke seberang laut. Umat-Ku yang telah Kucerai-beraikan akan Kukumpulkan dan Kupelihara seperti gembala menjaga dombanya. Aku telah membebaskan umat Israel, dan menyelamatkan mereka daripada bangsa yang kuat. Mereka akan datang ke Bukit Sion sambil menyanyi dengan gembira; mereka bersukacita kerana pemberian-Ku, iaitu gandum, wain, minyak zaitun, domba, dan lembu. Mereka seperti taman yang cukup airnya, mereka tidak akan kekurangan apa-apa. Pada masa itu gadis-gadis akan menari dengan gembira. Kaum lelaki, tua dan muda, akan bersukacita. Aku akan menghibur mereka dan mengubah kedukaan mereka menjadi kesukaan, kesedihan menjadi kebahagiaan. Para imam akan Kupuaskan dengan makanan yang berlimpah-limpah, dan memenuhi semua keperluan umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami