HAKIM-HAKIM 6:1-12

HAKIM-HAKIM 6:1-12 BM

Sekali lagi umat Israel berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN membiarkan orang Midian menjajah mereka selama tujuh tahun. Orang Midian lebih kuat daripada umat Israel. Itulah sebabnya umat Israel bersembunyi di dalam gua dan tempat lain yang selamat di bukit-bukit. Setiap kali orang Israel bercucuk tanam, orang Midian datang bersama dengan orang Amalek dan suku lain dari padang gurun, lalu menyerang orang Israel. Mereka berkhemah di negeri Israel lalu memusnahkan semua tanaman di sana sampai ke daerah di sekitar Gaza di selatan. Mereka merampas semua ternakan umat Israel - domba, lembu, dan keldai. Tidak ada sesuatu pun yang ditinggalkan sehingga umat Israel tidak mempunyai makanan sama sekali. Mereka berduyun-duyun datang dengan ternakan dan khemah mereka yang banyak sekali, umpama kawanan belalang yang besar. Mereka dan unta mereka terlalu banyak sehingga tidak dapat dihitung. Mereka datang memusnahkan negeri itu, dan umat Israel tidak berdaya menentang mereka. Kemudian umat Israel berseru meminta TUHAN menolong mereka melawan orang Midian. Oleh itu TUHAN mengutus seorang nabi kepada mereka. Nabi itu berkata, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan di Mesir. Aku telah menyelamatkan kamu daripada orang Mesir dan penduduk negeri ini yang melawan kamu. Aku mengusir mereka ketika kamu menyerang mereka, lalu Aku memberi kamu negeri mereka. Aku memberitahu kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, dan bahawa kamu tidak boleh menyembah dewa-dewa orang Amori, yang negerinya kamu diami sekarang. Tetapi kamu tidak mentaati firman-Ku.’ ” Kemudian pada suatu hari malaikat TUHAN datang ke pekan Ofra dan duduk di bawah pokok oak kepunyaan Yoas, seorang daripada puak Abiezer. Anak lelaki Yoas yang bernama Gideon sedang mengirik gandum di tempat memeras anggur. Dia melakukan kerja itu dengan sembunyi-sembunyi supaya orang Midian tidak nampak dia. Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami